312 bungkusan air ketum dirampas, dua lelaki ditahan

PGA Tenggara merampas 312 bungkusan air ketum bernilai RM9,360/Foto PGA Tenggara

PASIR MAS, 4 Jun – Sebanyak 312 bungkusan air ketum bernilai RM9,360 dirampas manakala dua lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di tepi Jalan Pintasan Pasir Mas petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 36 dan 26 tahun dipercayai memproses serta menjual air ketum sejak Mac tahun lalu.
  • Seorang suspek berada di luar kereta manakala seorang lagi atas motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika diperiksa.
  • Air ketum disorok di kawasan hutan berhampiran dan ditemui dalam tong ais serta kotak polisterin semasa pemeriksaan.
  • Kenderaan digunakan dianggarkan bernilai RM13,500; pelanggan membeli air ketum pada harga RM10 sebungkus; kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata kedua-dua suspek berusia 36 dan 26 tahun itu dipercayai terbabit dalam aktiviti memproses dan menjual air ketum sejak Mac tahun lalu.

“Hasil serbuan mendapati seorang suspek berada di luar sebuah kereta manakala seorang lagi berada di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Kedua-duanya cuba melarikan diri ke arah hutan sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, namun berjaya ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah air ketum yang disorok di kawasan hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu tong ais mengandungi 123 bungkusan air ketum, tiga kotak polisterin mengandungi 180 bungkusan air ketum serta sembilan bungkusan air ketum lain menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 312 bungkusan,” katanya.

Ahmad Radzi berkata nilai rampasan air ketum dianggarkan RM9,360 manakala kereta dan motosikal yang digunakan bernilai RM13,500.

“Siasatan awal mendapati pelanggan akan datang ke lokasi berkenaan pada sebelah petang untuk mendapatkan bekalan air ketum yang dijual pada harga RM10 sebungkus,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.