Konsep ‘co-existence’ pastikan makanan, biodiversiti bergerak seiring

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Jun – Konsep ‘co-existence’ atau kewujudan bersama dilaksana bagi membolehkan sistem pengeluaran makanan dan biodiversiti bergerak seiring.

RINGKASAN BERITA AI
  • Forum membuktikan konsep bukan sekadar teori, malah boleh dilaksanakan secara praktikal dalam sektor pertanian dan perladangan.
  • Kerajaan akan memperkukuh dasar sedia ada demi memastikan kelestarian jangka panjang.
  • MSPO 2.0 sebagai teras memastikan pengurusan bertanggungjawab dan memperkukuh imej sawit Malaysia di pasaran global.
  • Diplomasi orang utan dan usaha penajaan mengajak pengimport menjadi rakan penjaga bagi pemuliharaan in situ.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pendekatan itu bersifat realistik dan praktikal, sekali gus boleh dilaksanakan secara berkesan dalam sektor pertanian mahupun perladangan di negara ini.

“Apa yang paling membanggakan, forum ini membuktikan bahawa konsep ‘co-existence’ bukan lagi sekadar satu teori di atas kertas.

“Dalam mendepani arus cabaran global ini, pendekatan ‘co-existence’ bukan sahaja bertindak sebagai perisai yang menyokong usaha pemuliharaan habitat, tetapi ia turut menyumbang secara langsung kepada kelestarian operasi jangka panjang industri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Forum Biodiversiti 2026 di sini.

Menurutnya, pihaknya akan terus memperkukuh dasar sedia ada bagi memastikan kelestarian terus terjamin.

Tambahnya, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bukan sekadar piawaian kualiti, tetapi merupakan teras utama bagi pelaksanaan program berkenaan.

“Melalui pematuhan piawaian MSPO yang telah diperketatkan di bawah MSPO 2.0, kita menghantar satu mesej yang jelas kepada pasaran global bahawa, minyak sawit Malaysia diusahakan dengan penuh tanggungjawab.

“Keupayaan kita menguruskan sempadan landskap pertanian dengan habitat semula jadi akan menjadi naratif pertahanan terbaik bagi menangkis kempen-kempen anti minyak sawit dan memenuhi pelbagai tuntutan regulatori antarabangsa masa kini,” katanya lagi.

Pemain industri turut disaran menjadi ‘role model’ serta pemacu utama perubahan dengan menterjemahkan dasar kerajaan ke peringkat akar umbi.

Dalam pada itu katanya, inisiatif diplomasi orang utan kini semakin mendapat perhatian meluas di persada dunia dengan mengangkat ikon hidupan liar negara sebagai ‘duta kelestarian’ di peringkat global.

“Melalui konsep ini, kita mempelawa negara pengimport serta rakan dagang kelapa sawit antarabangsa untuk bukan sahaja menjadi pembeli komoditi kita, tetapi bertindak sebagai rakan penjaga ‘custodian’ melalui program penajaan dan pembiayaan bagi pemuliharaan spesies ini secara in-situ, terus di habitat asal mereka,” katanya.

Menerusi inisiatf berkenaan, Malaysia berjaya menonjolkan imej sebagai sebuah negara yang proaktif, sekali gus memimpin agenda pelestarian global dengan membuktikan kelangsungan industri kita sentiasa seiring dengan pemuliharaan khazanah alam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.