
MEKAH, 3 Jun – Keikhlasan hati seorang suri rumah membantu golongan asnaf sejak lebih 16 tahun lalu akhirnya membuka jalan buat Jameliah Abdul Manaf, 66 tahun untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci tahun ini.
- Aktif membantu urusan kebajikan: bantu golongan tiada dokumen, mendapatkan bantuan zakat dan menyelesaikan masalah perumahan.
- Lebih 250 individu dan keluarga berjaya dibantu melalui zakat, perumahan, pendidikan dan pelbagai bentuk kebajikan.
- Mula berkhidmat secara sukarela sejak 2010, menerima tauliah amil 2019 dan diiktiraf Penolong Amil Kariah Terbaik.
- Keimanan dan doa menjadi penguat; beliau menangis semasa berdoa ketika kursus haji kerana harapan dan kesyukuran.
Jameliah antara 75 penerima tajaan penuh haji Kerajaan Negeri Selangor, menyifatkan peluang menjadi tetamu Allah itu sebagai nikmat yang berharga.
Pelbagai urusan kebajikan dilakukan termasuk membantu golongan tiada dokumen pengenalan diri, mendapatkan bantuan zakat dan menyelesaikan masalah perumahan penduduk setempat sebagai tanda peduli terhadap mereka yang memerlukan.
“Setiap tahun ketika kursus haji, saya akan berdoa hingga ada rakan yang bertanya mengapa saya menangis ketika berdoa. Saya berdoa kerana ketika itu kewangan saya tidak mencukupi.
“Saya merasakan mustahil untuk saya menunaikan haji. Namun saya tetap berdoa kerana saya yakin Allah mendengar setiap doa. Insya-Allah, Allah Maha Mendengar. Itulah doa saya,” katanya ketika ditemui RTM.
Kini lebih 250 individu dan keluarga telah berjaya dibantu melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk zakat, perumahan, pendidikan dan kebajikan.
Ibu kepada empat anak dan nenek kepada sembilan cucu itu berkata, beliau mula aktif membantu golongan asnaf sekitar 2010 dengan menguruskan pelbagai urusan kebajikan.
Meskipun ketika itu belum dilantik secara rasmi sebagai amil, beliau tetap menjalankan tugas berkenaan atas dasar tanggungjawab sosial.
Jameliah kemudiannya menerima tauliah sebagai amil pada 2019 dan pernah diiktiraf sebagai Penolong Amil Kariah Terbaik selama dua tahun berturut-turut.
Menurutnya antara pengalaman yang paling sukar dilupakan ialah membantu sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal sehingga terpaksa mencari perlindungan sementara.