Ketua ‘Geng Rames didakwa sertai kumpulan jenayah terancang

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 2 Jun – Ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng Rames” hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang di Kuala Muda sejak dua tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
  • Didakwa di bawah Seksyen 130V(1); hukuman lima hingga 20 tahun, didakwa ahli antara Jan 2024 hingga 4 Dis 2025.
  • Diberkas 22 Mei semasa penerbangan Bangkok ke Hyderabad melalui operasi 'Op Tiga' bersama India, Thailand dan Notis Merah Interpol; ditahan menunggu sebutan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ramesh Govinda Rajan, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan, Ramesh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Rames” di Kampung Sungai Division, Kuala Muda, Kedah antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam S. Shathish.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sungai Petani dan perkara itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

Hakim Sharmila kemudian membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar sementara menunggu sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu memaklumkan tertuduh diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India pada 22 Mei lepas.

Ramesh ditahan dalam operasi khas ‘Op Tiga’ hasil kerjasama PDRM bersama pihak berkuasa India dan Thailand berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani serta Notis Merah Interpol.

Selain pertuduhan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan, suspek juga sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kes membabitkan dua pembunuhan berasingan di Padang Serai dan Bedong sekitar Februari dan Ogos 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.