Pencemaran kronik: Penduduk Austria bertindak sekat Lebuh Raya transit Eropah

Foto REUTERS

MATREI AM BRENNER , 31 Mei -Berang dengan masalah lambakan kenderaan berat yang mencetuskan pencemaran bunyi dan udara kronik, ribuan masyarakat di wilayah Tyrol bertindak menyekat lebuh raya transit Perlintasan Brenner, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk menuntut kerajaan percepatkan perpindahan kargo dari jalan raya ke kereta api yang lebih mesra alam.
  • Sekitar 4,500 hingga 5,000 penunjuk perasaan berhimpun di laluan Brenner menuntut tindakan terhadap gangguan pengangkutan.
  • Pihak berkuasa tutup sebahagian lebuh raya jam 11:00 hingga 19:00, namun gangguan rel dilaporkan selepas tindakan khianat melambatkan Trenitalia.

Protes besar-besaran yang digerakkan oleh penduduk tempatan itu mendesak kerajaan mempercepatkan peralihan pengangkutan kargo komersial daripada mod jalan raya kepada sistem kereta api yang lebih mesra alam.

Menurut agensi berita APA, seramai 4,500 hingga 5,000 penunjuk perasaan berkumpul di sepanjang laluan pergunungan Alps yang menghubungkan Jerman dan Itali itu bagi menuntut penolakan terhadap aktiviti pengangkutan yang menjejaskan kualiti hidup komuniti setempat.

Penganjur demonstrasi yang juga Datuk Bandar Gries am Brenner, Karl Muehlsteiger menyifatkan perhimpunan aman itu sebagai satu kejayaan besar dalam menyampaikan mesej jelas kepada kepimpinan tertinggi politik negara.

“Ini isyarat yang sangat jelas. Pihak atasan tidak boleh lagi memperkecilkan atau mengabaikan suara kami, dan kini giliran mereka pula untuk bertindak memenuhi tuntutan penduduk,” katanya.

Berdasarkan statistik organisasi mobiliti VCOe, jumlah trak yang merentasi laluan berkenaan melonjak mendadak kepada lebih 2.4 juta kenderaan tahun lepas, berbanding hanya 900,000 unit pada tahun 1991.

Susulan demonstrasi itu, pihak berkuasa bertindak menutup sebahagian lebuh raya dan jalan sekitar daripada trafik transit bermula jam 11:00 pagi hingga 7:00 malam waktu tempatan.

Kelab permotoran Austria (OeAMTC) mengesahkan bahawa ramalan awal berlakunya kesesakan luar biasa (gridlock) tidak menjadi kenyataan berikutan pengumuman awal yang dibuat, sekali gus membolehkan pemandu merancang laluan alternatif.

Bagaimanapun, perhimpunan itu dicemari dengan insiden gangguan rel antarabangsa apabila pengendali kereta api Itali, Trenitalia melaporkan kelewatan besar jadual perjalanan di laluan Brenner ke Verona akibat “tindakan khianat” oleh pihak tidak dikenali.

Isu lambakan lori kargo merupakan konflik berpanjangan memandangkan mahkamah tertinggi Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2023 pernah menggantung perintah sekatan kenderaan berat oleh Austria atas alasan ia berisiko mengganggu rangkaian pengangkutan blok berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.