
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan langkah pengukuhan fiskal akan terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 namun pelaksanaan secara seimbang perlu dilakukan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat serta aktiviti perniagaan.
- Laksanakan penjimatan bersasar dengan kurangkan ketirisan, perbelanjaan tidak kritikal dan projek rendah impak bagi melindungi perniagaan, pekerjaan dan kuasa beli.
- Utamakan reformasi struktur jangka panjang: perluas hasil kerajaan, tingkatkan produktiviti dan perkukuh pelaburan swasta untuk pertumbuhan mampan.
- Seimbangkan disiplin fiskal dengan langkah menjaga kebajikan rakyat supaya ekonomi terus berkembang secara inklusif dan berdaya tahan.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman berpandangan, langkah itu dilihat penting dalam memastikan perbelanjaan kerajaan terus tertumpu kepada keutamaan negara, di samping membolehkan sumber sedia ada dimanfaatkan secara lebih cekap dan berkesan.
“Jika pengurangan perbelanjaan dilakukan terlalu agresif, ia boleh memberi kesan kepada sektor perniagaan, peluang pekerjaan dan kuasa beli rakyat.
“Sebab itu, pendekatan yang lebih sesuai ialah penjimatan bersasar dengan mengurangkan ketirisan, perbelanjaan tidak kritikal serta projek yang kurang memberi impak kepada ekonomi.
“Pada masa sama, Belanjawan 2027 juga perlu memberi tumpuan kepada reformasi struktur jangka panjang termasuk memperluaskan hasil kerajaan, meningkatkan produktiviti negara dan memperkukuh pelaburan swasta.
“Ini kerana langkah penjimatan semata-mata tidak mencukupi jika ekonomi tidak berkembang secara mampan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Isyarat awal itu menunjukkan kerajaan mahu memperkukuh kedudukan fiskal negara supaya lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Selain itu memastikan keseimbangan antara disiplin kewangan dan usaha menjaga kebajikan rakyat di samping memastikan ekonomi terus berkembang secara inklusif dan mampan.