
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Wartawan berdiri di barisan hadapan sebagai benteng yang mempertahankan integriti maklumat ketika fitnah boleh tersebar dalam sekelip mata dan persepsi sering mengatasi realiti.
- Wartawan bukan sekadar pencatat peristiwa; mereka suara penting menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi.
- Setiap berita perlu penelitian, pengesahan dan tanggungjawab tinggi kerana kepercayaan masyarakat lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan.
- HAWANA mengiktiraf sumbangan wartawan; tema 2026 "Media Berintegriti, Teras Kredibiliti" menekankan integriti sebagai asas kredibiliti.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran Facebook menegaskan, peranan wartawan tidak terbatas kepada mencatat peristiwa semata-mata sebaliknya menjadi antara suara penting yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi.
“Setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi, kerana kepercayaan masyarakat bukan sesuatu yang boleh diperoleh dengan mudah, tetapi lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang konsisten.
“Apabila integriti dijadikan pegangan, dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan akan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih, kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita, tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan,” menurut hantaran itu.
Mengakhiri hantaran itu, Datuk Fahmi turut mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional yang disambut pada 29 Mei setiap tahun.
Sambutan HAWANA diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, manakala tarikh berkenaan dipilih sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.
HAWANA 2026 mengangkat tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ dan majlis kemuncak sambutan pada 20 Jun ini di Pulau Pinang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.