Selangor FC tekad bangkit di Buriram

Kapten Selangor FC, Faisal Halim./FB Selangor FC

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Kapten Selangor FC, Faisal Halim menyeru rakan sepasukannya agar tampil dengan mentaliti ‘tiada apa untuk rugi’ menjelang aksi getir menentang Buriram United FC, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan timbal balik akhir ACC berlangsung di Stadium Buriram, Thailand.
  • Selangor perlu memadam defisit satu gol selepas tewas 0-1 pada aksi pertama.
  • Skuad mesti mengekalkan fokus tertinggi sepanjang 90 minit permainan.
  • Sebarang kelalaian kecil berisiko dihukum oleh lawan dari Thailand; perlu berjuang sehingga wisel penamat.

Pertembungan timbal balik perlawanan akhir Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) itu bakal berlangsung di Stadium Buriram, Thailand.

Pemain sayap lincah tersebut menegaskan, skuad The Red Giants perlu turun ke padang bersama keyakinan penuh memandangkan aksi terakhir musim ini merupakan pentas terbaik untuk memberikan persembahan mutlak demi kelab.

“Bagi saya, kami sudah berada di peringkat akhir. Kami tidak boleh datang ke sini, mengharungi perlawanan dan pulang begitu sahaja. Skuad perlu berjuang hingga wisel penamat untuk merebut trofi ini serta memberikan tentangan sengit kepada lawan,” katanya menerusi rakaman audio selepas sidang media praperlawanan.

Selangor FC membawa misi sukar untuk memadam defisit satu gol selepas tewas 0-1 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lepas.

Dalam pada itu, Faisal turut mengingatkan rakan sepasukan supaya mengekalkan tahap fokus tertinggi sepanjang 90 minit permainan.

Tambah beliau, sebarang kelalaian kecil atau kesilapan mudah mampu dihukum oleh kelab ternama Thailand tersebut. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.