
BUKIT MERTAJAM, 26 Mei – Kerajaan akan mengumumkan pelan pemulihan serta penyediaan peluang pekerjaan alternatif bagi membantu individu yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan.
- Kerajaan akan bawa isu ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan laksanakan langkah penambahbaikan dalam satu hingga dua minggu.
- Satu program khas akan diadakan untuk membantu memulihkan keadaan dan membuka peluang pekerjaan baharu, khususnya bagi golongan belia.
- Kerajaan memberi fokus kepada sektor teknologi maklumat dan kecerdasan buatan kerana permintaan tinggi dalam pasaran semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah segera itu diambil susulan laporan kira-kira 7,000 pekerja kehilangan mata pencarian pada April lalu, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan peluang pekerjaan rakyat terus diberi perhatian.
Usaha tersebut bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, malah dirangka bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu menerusi kemasukan pelaburan berimpak tinggi di beberapa negeri utama.
“Kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan dalam tempoh satu hingga dua minggu, kerajaan akan mengambil langkah penambahbaikan termasuk menyediakan peluang pekerjaan alternatif.
“Dalam tempoh itu juga, satu program khas akan diadakan bagi membantu memulihkan keadaan serta membuka beberapa peluang pekerjaan baharu, khususnya untuk golongan belia.
“Setakat ini keadaan masih terkawal dan belum membimbangkan. Namun, setiap kehilangan pekerjaan pasti memberi kesan kepada sesebuah keluarga dan perkara itu amat merunsingkan. Sebab itu kerajaan berusaha menangani isu ini sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Padang Homestay Mengkuang Titi, di sini petang tadi.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan daripada Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang memaklumkan bahawa seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu dan angka itu meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa sektor teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara fokus utama kerajaan kerana mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran semasa.