
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Perkhidmatan urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kembali beroperasi serta-merta.
- Penangguhan kerja penambahbaikan hanya semasa cuti panjang hujung minggu.
- Perkhidmatan sebelum ini ditangguhkan sementara untuk penambahbaikan sistem.
- Keputusan dicapai selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah JPJ susulan laporan.
- JPJ diarahkan laksana pembaikan segera, cegah penyalahgunaan dan elak gangguan kepada pengguna.
Manakala sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan itu sebelum ini ditangguhkan sementara bagi tujuan penambahbaikan sistem.
Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli susulan laporan mengenai penangguhan perkhidmatan berkenaan semalam.
Anthony pada masa sama mengarahkan JPJ untuk melaksanakan penambahbaikan sistem dalam talian dengan kadar segera.
“JPJ telah memaklumkan kepada MOT berhubung penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik sehingga menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ.”
“Namun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat-pejabat JPJ,” katanya.