
KUCHING, 25 Mei– Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas kini berada dalam proses penelitian semula bagi membolehkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapatkan pandangan serta input tambahan daripada persatuan dan organisasi yang mewakili golongan berkenaan.
- Draf hampir siap, tetapi cadangan baharu termasuk tanggungjawab anak terhadap penjagaan ibu bapa telah dikemukakan untuk pertimbangan.
- Kementerian diberi tempoh enam bulan untuk meneliti semula RUU sebelum dibentangkan ke Parlimen.
- Cadangan mewajibkan anak menjaga ibu bapa masih dikaji rapi kerana perlaksanaan dan penguatkuasaan menghadapi cabaran seperti di luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, walaupun draf RUU tersebut hampir siap sebelum ini, terdapat pelbagai cadangan baharu yang dikemukakan termasuk isu berkaitan tanggungjawab anak-anak terhadap penjagaan ibu bapa.
Menurut beliau, kementeriannya diberikan tempoh enam bulan untuk meneliti semula RUU berkenaan sebelum dibentangkan ke Parlimen.
“Kita akan terus melaksanakan program advokasi, namun kita perlu menetapkan tarikh akhir sendiri. Jika kita terus diminta berbuat demikian (advokasi) semata-mata kerana ada pihak belum sempat memberi ulasan, ia akan menjejaskan jadual pembentangan ke Kabinet dan Parlimen.”
“Namun, kita tidak akan berhenti dan akan terus mengadakan sesi libat urus. Pada masa sama, kita akan menyerahkannya kembali kepada pihak advokasi untuk mengkaji input daripada kementerian,” kata Datuk Seri Nancy, hari ini.
Beliau ditemui pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak, di sini.
Mengulas mengenai cadangan mewajibkan anak-anak menjaga ibu bapa warga emas, Datuk Seri Nancy menjelaskan perkara itu masih dalam kajian mendalam kerana kerajaan perlu mengambil pendekatan yang realistik.
Tambah beliau, beberapa negara luar yang telah melaksanakan dasar sedemikian turut berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi penguatkuasaan.