Tiga maut dan 17 lagi hilang selepas hujan lebat di Chongqing, China

Hujan lebat  di Chongqing dengan paras air sungai melepasi paras amaran/Foto BERNAMA

CHONGQING, 24 Mei – Tiga orang maut manakala 17 lagi masih hilang selepas hujan lebat melanda Daerah Yongchuan di Perbandaran Chongqing, barat daya China bermula Sabtu malam, menurut pihak berkuasa tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lagi dilaporkan hilang di Daerah Beibei; usaha menyelamat dan tindak balas kecemasan sedang giat dijalankan.
  • Yongchuan dinaikkan kepada tindak balas kawalan banjir Tahap I; 29 daerah di Tahap II, sembilan di Tahap III.
  • Subdaerah Chashanzhuhai rekod hujan 296.6 mm antara 2 hingga 4 pagi, intensiti jam maksimum 103.6 mm.
  • Suruhanjaya Kebangsaan aktifkan tindak balas kecemasan Tahap IV; pasukan dihantar bantu penilaian dan keperluan asas penduduk.

Selain itu, dua lagi individu turut dilaporkan hilang selepas hujan lebat melanda Daerah Beibei di perbandaran itu. Usaha menyelamat dan tindak balas kecemasan sedang giat dijalankan.

Bermula 2 petang Ahad, Chongqing menaik taraf Daerah Yongchuan kepada tindak balas kecemasan kawalan banjir Tahap I di peringkat perbandaran, manakala 29 daerah dan county termasuk Daerah Rongchang dan Daerah Beibei diletakkan di bawah Tahap II, serta sembilan daerah dan county termasuk Daerah Yuzhong di bawah Tahap III, menurut ibu pejabat kawalan banjir dan bantuan kemarau Chongqing.

Subdaerah Chashanzhuhai di Daerah Yongchuan merekodkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 296.6 milimeter antara 2 pagi hingga 4 pagi Ahad, dengan intensiti hujan maksimum sejam sebanyak 103.6 milimeter, menurut ibu pejabat operasi kawalan banjir dan menyelamat di lokasi kejadian.

Jumlah hujan maksimum di Pekan Xinglong, Daerah Beibei mencecah 122.9 milimeter antara 12 tengah malam hingga 3 pagi Ahad, dengan intensiti hujan maksimum sejam sebanyak 59.4 milimeter, menurut biro pengurusan kecemasan daerah itu.

Hujan lebat melanda 22 daerah dan county di Chongqing, dengan paras air sungai di perbandaran itu melepasi paras amaran, menurut stesen pemantauan hidrologi Chongqing.

Suruhanjaya Kebangsaan China bagi Pengurangan Bencana pada Ahad mengaktifkan tindak balas kecemasan Tahap IV bagi banjir dan bencana geologi di Chongqing.

Satu pasukan turut dihantar ke kawasan terjejas bagi menilai situasi semasa di lapangan serta membantu usaha bantuan bencana tempatan, termasuk memastikan keperluan asas penduduk terjejas dipenuhi, menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan./BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.