24 maut dan lebih 70 cedera dalam letupan sasar kereta api tentera di Pakistan

Anggota keselamatan dalam perjalanan pulang sempena Aidiladha/Foto AFP

QUETTA, 24 Mei – Sekurang-kurangnya 24 orang maut manakala lebih 70 lagi cedera dalam satu letupan yang menyasarkan kereta api membawa anggota tentera di wilayah bergolak Balochistan, barat daya Pakistan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • BLA mengaku bertanggungjawab, dakwa serangan bom bunuh diri kenderaan sarat bahan letupan.
  • Letupan menyebabkan enjin dan beberapa gerabak tergelincir, dua gerabak dilaporkan terbalik.
  • Kereta api membawa anggota keselamatan dan keluarga pulang sempena Aidiladha; mangsa dikeluarkan dan lokasi dikawal.
  • IED dianggarkan seberat kira-kira 35 kilogram; kerajaan mengutuk serangan dan siasatan sedang dijalankan.

Menurut pihak berkuasa Pakistan, letupan berlaku berhampiran Chaman Phatak di Quetta ketika kereta api tersebut dalam perjalanan menuju ke Peshawar.

Kumpulan militan pemisah, Tentera Pembebasan Baloch atau BLA, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan mendakwa ia dilakukan menerusi serangan bom bunuh diri menggunakan kenderaan sarat bahan letupan.

Letupan kuat itu menyebabkan enjin serta beberapa gerabak tergelincir, malah dua gerabak dilaporkan terbalik.

Rakaman di lokasi menunjukkan keadaan huru-hara dengan mangsa dibawa keluar menggunakan pengusung, manakala pasukan keselamatan mengawal kawasan kejadian.

Pegawai tempatan memaklumkan kereta api itu membawa anggota keselamatan bersama ahli keluarga mereka yang dalam perjalanan pulang sempena sambutan Aidiladha.

Pihak polis menganggarkan bahan letupan atau IED yang digunakan seberat kira-kira 35 kilogram.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan keganasan kejam yang menyasarkan orang awam tidak berdosa.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera segera pulih.

Balochistan merupakan wilayah terbesar tetapi termiskin di Pakistan dan sekian lama berdepan konflik antara kumpulan pemisah dengan kerajaan pusat.

Kerajaan Pakistan menuduh kumpulan militan melakukan keganasan bagi menggugat kestabilan negara.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian yang terlibat dalam serangan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.