Thailand Tarik diri, Malaysia diberi kemenangan regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Malaysia muncul juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan kemenangan 2-1 selepas Thailand menarik diri di penghujung set dalam aksi akhir penuh dramatik di Stadium Titiwangsa, di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Regu pertama Malaysia (Aidil Aiman, Mohd Afifuddin, Muhammad Zulkifli) menang 15-9 dan 15-12, tunjuk permainan kemas dan serangan konsisten.
  • Thailand bangkit untuk menang set kedua 15-13, memaksa perlawanan ke set penentuan.
  • Regu kedua Malaysia (Farhan Adam, Mohamad Azlan, Muhammad Haziq) tewas straight set 6-15 dan 10-15.
  • Regu ketiga menang set pertama 15-13; kontroversi pada 14-14 menyebabkan Thailand tinggalkan gelanggang, memberi kemenangan kepada Malaysia.

Regu pertama negara dibarisi Aidil Aiman Azwawi (pengumpan), Mohd Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan Muhammad Zulkifli Abdul Razak (tekong) memulakan aksi dengan cemerlang apabila menewaskan Thailand 15-9 pada set pertama hasil permainan kemas dan serangan konsisten.

Malaysia terpaksa akur dengan kebangkitan Thailand pada set kedua menerusi corak permainan lebih agresif untuk menewaskan Malaysia 13-15 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit sebelum Malaysia berjaya menamatkan cabaran Thailand 15-12 sekali gus menghadiahkan mata pertama buat skuad negara.

Regu kedua Malaysia yang dibarisi Farhan Adam (pengumpan), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tewas straight set kepada Thailand.

Malaysia ketinggalan set pertama dengan kekalahan 6-15 sebelum disudahkan pada set kedua 10-15 untuk mengikat kedudukan keseluruhan 1-1 dengan Thailand.

Perlawanan penentuan menerusi regu ketiga menyaksikan Malaysia mempertaruhkan Amirul Zazwan Amir (pengumpan), Hafizul Hayazi Adnan (perejam) dan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong).

Skuad negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila memenangi set pertama 15-13 dalam aksi yang berlangsung sengit.

Pada set kedua, Malaysia diberikan mata pengikat 14-14 yang dianggap kontroversi pasukan Thailand sebelum bertindak meninggalkan gelanggang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil berkaitan kesalahan faul yang dibuat kem negara itu.

Situasi tersebut sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia dan mengesahkan skuad negara sebagai juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.