Kuching City FC anggap kekalahan Piala Malaysia pengalaman berharga

Aidil Shahrin Sahak

KUALA LUMPUR, 23 Mei Kekalahan di pentas akhir Piala Malaysia tetap dianggap sebagai satu pengalaman berharga buat Kuching City FC meskipun tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan beraksi baik pada separuh masa pertama, tetapi kecederaan pada separuh masa kedua memaksa perubahan dan mengubah rentak perlawanan.
  • Sepakan penalti gagal disudahkan menjadi titik perubahan; Aidil tidak menyalahkan Ramadan, menegaskan penalti adalah situasi 50-50.
  • Aidil berbangga pasukan mara ke final buat pertama kali dan akan menilai kelemahan terutama penyudah dan pengalaman berintensiti tinggi.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Shahrin Sahak berkata pasukannya mempamerkan aksi sangat baik terutama pada babak pertama apabila berjaya mengawal permainan dan menyekat rentak Harimau Selatan.

“Kami beraksi dengan sangat baik pada separuh masa pertama, dengan mengawal permainan serta berjaya menyekat rentak Johor Darul Ta’zim (JDT). Namun pada separuh masa kedua, beberapa perubahan terpaksa dilakukan akibat kecederaan, dan JDT tampil lebih agresif.

“Harimau Selatan memanfaatkan peluang yang ada, dan itu menjadi perbezaan dalam perlawanan hari ini,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan antara Kuching City FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara.

Sepakan penalti yang tidak dapat disudahkan dengan jaringan serta terlepas peluang memanfaatkan kesempatan membuka ruang kepada pihak lawan untuk menempa jaringan.

“Saya tidak mahu menyalahkan Ramadan. Sepakan penalti sememangnya situasi 50-50. Malah, pemain bertaraf dunia juga pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti.

“Namun, sekiranya gol itu berjaya dijaringkan, saya percaya perlawanan akan berubah kerana ketika itu momentum lebih memihak kepada kami. Kami memperoleh peluang terbaik menerusi sepakan penalti, namun apabila berdepan pasukan seperti JDT, setiap peluang yang tidak disempurnakan boleh mengundang padah,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau turut berbangga pencapaian Kuching City FC mara ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah kelab itu, selain akan menilai kelemahan terutama dari aspek penyudah dan pengalaman dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Dalam aksi tersebut, pasukan JDT kendaliaan Xisco Munoz muncul juara selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 hasil jaringan Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi, sekali gus melengkapkan kejuaraan Piala Malaysia buat Harimau Selatan untuk empat musim berturut-turut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.