JDT kekal dominan, Arif Aiman bangkit selepas 6 bulan kecederaan

Foto Facebook Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan dominasi dalam arena bola sepak tempatan selepas menutup musim dengan kemenangan dalam aksi akhir Piala Malaysia 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan lawan gunakan formasi 5-4-1 dan low block, memaksa JDT bersabar dan ubah taktikal pada babak kedua.
  • Arif Aiman kembali selepas hampir enam bulan kecederaan, jaringkan gol dan dipilih pemain terbaik perlawanan.
  • JDT cipta sejarah sebagai pasukan pertama raih kejuaraan Piala Malaysia empat musim berturut-turut serta lengkapkan quadruple musim ini.

Perlawanan tersebut menyaksikan JDT berdepan dengan Kuching City FC yang bermain lebih taktikal bertahan sekali gus menyukarkan JDT melakukan serangan pada babak pertama, namun pasukan Harimau Selatan berjaya mengawal permainan dan menyesuaikan taktikal terutama pada babak kedua.

Menurut Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz perlawanan tersebut menuntut kesabaran apabila pihak lawan bermain dengan corak permainan bertahan.

“Agak sukar untuk berdepan pasukan yang menggunakan formasi 5-4-1 ketika bertahan, bermain secara low block dan menunggu kesilapan lawan,” katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan antara Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada pemain sayap JDT, Arif Aiman yang kembali beraksi selepas enam bulan berehat akibat kecederaan.

Pada aksi final tersebut Arif bukan sahaja membantu pasukan menjaringkan gol, malah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Saya bersyukur kerana dapat kembali beraksi selepas hampir enam bulan berehat. Tempoh itu memang cukup mencabar buat saya untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Setiap hari perlu menjalani latihan di gimnasium dan ia bukan sesuatu yang mudah, namun saya perlu hadapinya kerana ini merupakan kecederaan pertama sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak.

“Saya jadikan pengalaman itu sebagai motivasi. Selepas mengalami kecederaan, saya beri ruang kepada diri sendiri untuk berehat tanpa sebarang tekanan dan mengambil masa secukupnya untuk pulih. Saya percaya akan tiba masanya untuk saya kembali beraksi seperti hari ini,” katanya dalam sidang media sama.

Dalam aksi perlawanan akhir tersebut, JDT mencipta sejarah sebagai pasukan pertama meraih kejuaraan Piala Malaysia empat musim berturut-turut sekali gus melengkapkan ‘quadruple’ selepas turut menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.