Wan Arif-Roy King terkandas di separuh akhir

Wan Muhammad Arif Shaharudin Wan Junaidi-Yap Roy King tewas kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 19-21, 17-21 dalam aksi separuh akhir Malaysia Masters 2026 – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Hasrat untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri beregu lelaki negara di pentas akhir Malaysia Masters 2026 tidak kesampaian selepas Wan Muhammad Arif Shaharudin Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir di separuh akhir, dalam aksi di Unifi Arena, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wan Arif-Roy King tewas kepada Lundgaard-Vestergaard 19-21, 17-21 dalam 49 minit.
  • Mereka mendahului 15-13 set kedua tetapi beberapa kesilapan memberi peluang lawan menang 21-17.
  • Kekalahan menamatkan rekod cemerlang mereka terhadap pasangan Denmark selepas empat kemenangan terdahulu.
  • Wan Arif salahkan keletihan dan konsistensi lawan; berharap pulih untuk Terbuka Singapura.

Pasangan ranking ke-16 dunia itu terpaksa akur tewas kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 19-21, 17-21 dalam tempoh 49 minit.

Wan Arif-Roy King memberikan tentangan sengit pada set pertama apabila berjaya mengimbangi permainan lawan sebelum tewas tipis 19-21.

Memasuki set kedua, pasangan negara cuba bangkit dan sempat mendahului 15-13, namun beberapa kesilapan mudah membuka ruang buat pasangan Denmark kembali menguasai permainan sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 21-17.

Wan Muhammad Arif Shaharudin Wan Junaidi-Yap Roy King tewas kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard – Foto BERNAMA

Kekalahan itu turut menyaksikan rekod cemerlang Wan Arif-Roy King ke atas pasangan Denmark berakhir selepas sebelum ini memenangi kesemua empat pertemuan terdahulu.

Sementara itu, Wan Arif mengakui faktor keletihan selain permainan lebih konsisten dipamerkan lawan menjadi punca utama kekalahan mereka.

“Kita memang ingin menang tetapi lawan bermain lebih bagus daripada kami. Antara punca kekalahan hari ini mungkin adalah dari segi tenaga.

“Tenaga kami mungkin sudah menurun dan harapanya kami mampun pulihkan tenaga untuk mengharungi saingan Terbuka Singapura,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan beregu profesional negara, Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei muncul wakil tunggal Malaysia di pentas akhir dan bakal menentang Lundgaard-Vestergaard bagi perebutan kejuaraan esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.