
SEPANG, 23 Mei – Seramai 4,267 penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2025 dengan golongan itu merekodkan 65 peratus daripada keseluruhan 6,581 kes kemalangan maut di negara ini.
- Golongan penunggang motosikal kekal pengguna jalan raya paling berisiko dan memerlukan tindakan pencegahan tuntas serta menyeluruh.
- Kematian jalan raya direkodkan 10 hingga 15 sehari, meningkat kepada 20 hingga 25 pada musim cuti atau perayaan.
- Kempen MYRider bertujuan memperkukuh kesedaran, pematuhan peraturan dan budaya tunggangan selamat melalui usaha bersama semua pihak.
Statistik itu menunjukkan golongan itu kekal menjadi pengguna jalan raya paling berisiko serta memerlukan tindakan pencegahan yang tuntas dan menyeluruh.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin berkata, soal keselamatan bukan lagi aspek sampingan, sebaliknya menjadi agenda utama keselamatan jalan raya di negara ini.

“Amat menyedihkan apabila kita melihat sebahagian besar kematian yang direkodkan setiap hari di seluruh negara berpunca daripada kemalangan jalan raya.
“Kita merekodkan antara 10 hingga 15 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari. Malah, jumlah itu meningkat sehingga 20 hingga 25 kematian pada musim cuti atau perayaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Penunggang Malaysia (MYRider) di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, hari ini.
Beliau berkata, faktor utama kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Menurutnya, kempen MYRider bertepatan hasrat JSPT untuk memperkukuh kesedaran, pematuhan peraturan jalan raya dan pembentukan budaya tunggangan selamat dalam kalangan pengguna motosikal.
“Cabaran itu perlu digalas bersama, bukan sahaja oleh pihak penguat kuasa, malah semua pihak perlu berganding tenaga bagi memastikan budaya penunggangan hari ini mampu melahirkan generasi penunggang yang lebih selamat pada masa hadapan,” katanya.