Presiden Senegal pecat Perdana Menteri Ousmane Sonko, bubar kabinet

Foto REUTERS

DAKAR, 23 Mei – Presiden Senegal Bassirou Diomaye Faye bertindak memecat Perdana Menteri Ousmane Sonko pada Jumaat, sekali gus membubarkan seluruh kabinet pentadbiran ketika negara Afrika Barat itu sedang bergelut dengan krisis hutang yang meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan politik memuncak antara dua bekas sekutu, dengan keretakan bermula Mac apabila Sonko mengancam keluarkan Pastef daripada kerajaan.
  • Sonko, berpengaruh dalam kalangan pengundi muda, lancar audit sumber asli, batalkan kira-kira 71 lesen dan cabar kontrak BP untuk rundingan semula.
  • Tekanan ekonomi teruk: IMF membekukan program pinjaman AS$1.8 bilion, hutang mencecah 132% KDNK, Sonko menentang penstrukturan AS$13 bilion.

Pengumuman pembubaran kerajaan dan penamatan jawatan semua menteri itu dibuat melalui satu kenyataan rasmi yang dibacakan oleh Setiausaha Agung Pejabat Presiden, Oumar Samba Ba, menerusi saluran media rasmi kerajaan.

“Semua ahli jemaah menteri yang tamat perkhidmatan bagaimanapun akan bertanggungjawab mengendalikan urusan pentadbiran harian negara buat masa ini,” kata Samba Ba.

Keputusan drastik itu diambil selepas ketegangan politik dilaporkan semakin memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini membabitkan kedua-dua pemimpin, yang sebelum ini merupakan sekutu kuat sebelum bertukar menjadi seteru.

Sonko, seorang tokoh karismatik yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi muda, merupakan tunjang utama yang menyokong kempen Faye dalam pilihan raya 2024, selepas beliau sendiri dilarang bertanding susulan sabitan kes fitnah.

Bagaimanapun, keretakan hubungan mula kelihatan pada Mac lalu apabila Sonko memberi bayangan sedia membawa parti pimpinannya, Pastef, keluar daripada kerajaan sekiranya Faye tersimpang daripada agenda asal parti.

Mengulas mengenai pemecatannya, Sonko menerusi hantaran di media sosial malam tadi menyatakan beliau menerima keputusan itu dengan tenang.

“Malam ini saya akan tidur dengan hati yang tenang di kawasan kejiranan Keur Gorgui,” katanya, merujuk kepada kediaman peribadinya.

Sepanjang memegang jawatan, Sonko yang dikenali dengan pendekatan antipenubuhan dan Pan-Afrika, telah melancarkan audit menyeluruh terhadap perjanjian sumber asli negara, termasuk sektor minyak dan gas yang sedang dibangunkan.

Pada Mac lalu, beliau membatalkan kira-kira 71 lesen perlombongan dan mengisytiharkan kontrak gas syarikat BP bagi projek ‘Greater Tortue Ahmeyim’ sebagai tidak adil, selain berjanji rundingan semula kontrak terbabit akan menurunkan harga tenaga domestik serta memulihkan ekonomi negara.

Pergolakan politik terbaharu itu berlaku ketika Senegal berdepan tekanan ekonomi yang berat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membekukan program pinjaman berjumlah AS$1.8 bilion susulan penemuan salah lapor data hutang.

Keadaan itu menyaksikan kadar hutang negara itu mencecah 132 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2024.

November lepas, Sonko secara terbuka menentang cadangan IMF untuk menstruktur semula hutang Senegal yang dianggarkan bernilai AS$13 bilion.

Manakala Presiden Faye pula mengambil pendekatan lebih mengunci mulut berhubung isu berkenaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.