JPN Johor tegas, tiada kompromi kes salah laku seksual di sekolah

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 22 Mei – Susulan isu tular di media sosial yang melibatkan seorang guru dan murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa laporan polis dibuat dan guru ditahan reman untuk membantu siasatan.
  • JPNJ menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan undang-undang sekiranya individu didapati bersalah.
  • JPNJ bekerjasama dengan JKM memastikan kebajikan murid dan mengekalkan persekitaran sekolah selamat serta kondusif.

JPNJ dalam kenyataannya mengesahkan, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk oleh pihak sekolah, yang seterusnya membawa kepada penahanan reman guru berkenaan bagi membantu siasatan.

“Pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh, bagi memastikan tindakan undang-undang dapat diambil sekiranya individu terlibat didapati bersalah.

“Sepanjang tempoh siasatan dijalankan, guru terbabit telah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sebagai langkah pentadbiran sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, JPNJ turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan serta perlindungan murid yang terlibat terus terjamin.

JPNJ menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan persekitaran sekolah kekal selamat, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.