
SAUDARA PENGARANG
- Penyelewengan dan salah guna amanah mencetuskan era curiga, merosakkan kepercayaan terhadap institusi filantropi Islam.
- Masyarakat kini menuntut ketelusan, akauntabiliti dan bukti impak sebelum memberi sumbangan.
- Institusi mesti mengamalkan tadbir urus profesional, laporan terbuka dan komunikasi digital konsisten untuk memulihkan keyakinan.
- Amanah adalah teras filantropi Islam; integriti berterusan penting agar masyarakat terus sudi membantu ketika krisis.
Masyarakat hari ini semakin peka terhadap pelbagai isu yang berlaku di sekeliling mereka. Perubahan ini secara tidak langsung turut mempengaruhi landskap filantropi Islam yang kini berdepan dengan cabaran baharu dalam mengekalkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat.
Rentetan daripada beberapa isu penyelewengan dana yang mendapat perhatian umum sejak kebelakangan ini, masyarakat mula mempersoalkan aspek kejujuran, amanah dan integriti dalam urusan filantropi Islam.
Budaya Memberi dalam Masyarakat Islam
Dalam masyarakat Islam, budaya memberi bukan sekadar amalan sosial, tetapi manifestasi keimanan dan tanggungjawab kemanusiaan. Zakat, wakaf, sedekah dan pelbagai bentuk sumbangan telah lama menjadi nadi kesejahteraan umat sejagat.
Melalui instrumen filantropi Islam, golongan yang memerlukan terus dibantu, pendidikan diperkasakan dan kebajikan masyarakat dipelihara. Namun begitu, landskap filantropi Islam hari ini turut berhadapan dengan isu kepercayaan masyarakat yang semakin menimbulkan kebimbangan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai laporan berkaitan penyelewengan dana, ketirisan bantuan dan salah guna amanah oleh segelintir pihak telah mencetuskan kegusaran awam. Media sosial pula mempercepat penyebaran maklumat sehingga setiap isu mampu menjadi perbahasan nasional dalam tempoh yang singkat.
Akibatnya, masyarakat kini semakin berhati-hati sebelum menghulurkan sumbangan. Kalau dahulu orang ramai terus menderma atas dasar ihsan dan kepercayaan, hari ini ramai yang memilih untuk “menyemak dahulu” sebelum menekan butang derma.
Apabila Kepercayaan Menjadi Persoalan
Fenomena ini menggambarkan bahawa filantropi Islam kini sedang bergerak ke arah “era curiga” iaitu keadaan di mana masyarakat masih mahu membantu, tetapi pada masa yang sama dipenuhi persoalan tentang ketelusan, integriti dan amanah dalam pengurusan dana.
Nilai kepercayaan merupakan asas utama dalam ekosistem filantropi Islam. Tanpa kepercayaan, masyarakat akan mula menjauhkan diri daripada institusi kebajikan, NGO malah institusi agama itu sendiri.
Lebih membimbangkan, tindakan segelintir pihak yang tidak amanah akhirnya memberi kesan kepada keseluruhan institusi filantropi Islam yang majoritinya berusaha melaksanakan amanah dengan baik.
Cabaran Membina Semula Keyakinan
Dalam konteks ini, cabaran terbesar bukan sekadar mengumpul dana, tetapi membina semula keyakinan masyarakat.
Rakyat hari ini bukan sahaja mahu tahu ke mana wang mereka disalurkan, tetapi juga bagaimana ia diuruskan, siapa penerimanya dan sejauh mana sumbangan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada penerima. Masyarakat moden semakin menuntut ketelusan, bukti dan akauntabiliti.
Perubahan sikap masyarakat ini sebenarnya tidak boleh dilihat secara negatif. Sebaliknya, ia merupakan petanda bahawa institusi filantropi perlu bergerak ke arah tadbir urus yang lebih profesional dan telus.
Dalam era digital, kepercayaan tidak lagi dibina hanya melalui reputasi, tetapi melalui komunikasi yang jelas, laporan yang terbuka dan bukti kesan bantuan yang dapat dilihat oleh masyarakat.
Membina Keyakinan Melalui Ketelusan
Institusi filantropi Islam perlu mula menyesuaikan pendekatan yang lebih strategik dalam membina hubungan dengan masyarakat. Laporan kewangan yang telus, penggunaan teknologi digital, paparan perkembangan bantuan secara berkala dan komunikasi yang konsisten mampu meningkatkan keyakinan penyumbang.
Dalam dunia hari ini, masyarakat bukan sekadar mahu memberi, tetapi mahu merasa yakin bahawa sumbangan mereka benar-benar membawa perubahan ke arah kebaikan.
Selain itu, pendekatan pemasaran berasaskan nilai dan hubungan juga semakin penting. Institusi filantropi tidak boleh lagi hanya muncul ketika mahu meminta sumbangan.
Sebaliknya, hubungan dengan masyarakat perlu dibina secara berterusan melalui pendidikan, perkongsian kesan bantuan dan penglibatan komuniti. Kepercayaan tidak lahir dalam sehari, tetapi dibina melalui konsistensi dan integriti yang berpanjangan.
Amanah Sebagai Teras Filantropi Islam
Islam itu sendiri meletakkan amanah sebagai prinsip yang sangat besar nilainya. Dalam pengurusan dana umat, amanah bukan sekadar tanggungjawab organisasi, tetapi tanggungjawab moral dan spiritual di sisi Allah SWT.
Sebab itu, sebarang bentuk penyelewengan bukan sahaja merosakkan reputasi institusi, malah mampu melemahkan semangat masyarakat untuk terus membantu sesama insan.
Walaupun cabaran era curiga ini semakin kompleks, masa depan filantropi Islam masih mempunyai potensi yang sangat besar. Hakikatnya, masyarakat Malaysia masih memiliki sifat pemurah dan semangat kebersamaan yang tinggi.
Ketika berlaku bencana, konflik kemanusiaan atau krisis ekonomi, rakyat tetap tampil membantu tanpa mengira bangsa dan latar belakang. Ini membuktikan bahawa nilai ihsan dalam masyarakat masih kuat, cuma ia kini memerlukan institusi yang benar-benar boleh dipercayai.
Memelihara Amanah, Mengembalikan Keyakinan
Oleh itu, filantropi Islam pada masa depan tidak boleh hanya bergantung kepada sentimen agama semata-mata, tetapi perlu diperkukuhkan dengan integriti, ketelusan dan profesionalisme.
Dalam era curiga ini, institusi yang mampu mempertahankan amanah dan membina kepercayaan akan terus mendapat tempat di hati masyarakat. Kerana pada akhirnya, masyarakat bukan takut untuk memberi tetapi mereka hanya takut amanah itu dikhianati.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Suhaily Md Shamsudin
Pensyarah
Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: suhaily@uis.edu.my