
SUNGAI PETANI, 21 Mei – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan kejadian letupan tong gas helium yang meragut nyawa seorang lelaki dan mencederakan tiga individu lain termasuk seorang remaja di sebuah tapak ekspo di kompleks SP Plaza di sini, malam tadi.
- Dua lelaki ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan, berusia lingkungan 20-an dan 40-an.
- Siasatan awal mendapati letupan sebuah tong gas untuk mengisi belon; serpihan terbang sejauh 70 hingga 100 meter.
- Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 304A; ekspo diarahkan tutup sementara dan polis menggesa pengunjung cedera tampil memberi keterangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan ketika ditemui mengesahkan kedua-dua lelaki berusia 20-an dan 40-an itu ditahan di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada letupan salah sebuah tong gas yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak, menyebabkan serpihan tong gas berterbangan sejauh 70 hingga 100 meter dan disyaki mengenai seorang lelaki yang sedang berniaga di tapak ekspo berkenaan.
Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan serta badan, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan disiasat bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan.
Kejadian itu turut mengakibatkan beberapa lagi pengunjung mengalami kecederaan dan dipercayai telah meninggalkan lokasi kejadian lebih awal.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengunjung yang cedera tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Berikutan kejadian itu, ekspo berkenaan diarah tutup buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.53 malam tadi, seorang lelaki dikenali sebagai Azmi Ahmad, 42 tahun maut akibat terkena serpihan tong gas yang meletup, manakala tiga lagi individu berusia 15, 36 dan 49 tahun mengalami kecederaan.