Kerajaan perkukuh strategi kepercayaan digital jamin perlindungan data rakyat

Menteri Digital, Gobind Singh Deo / Foto FB Gobind Singh Deo

PETALING JAYA, 21 Mei – Kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan data dan privasi maklumat peribadi rakyat kekal menjadi keutamaan utama dalam usaha memperkukuh ekosistem digital negara, khususnya ketika Malaysia mempercepatkan peralihan ke arah status Negara AI menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026-2030 dalam fasa pemurnian akhir, akan dibentangkan secara bersepadu suku ketiga tahun ini.
  • CSM diberi mandat sebagai agensi utama pelaksana dan penstrukturan semula penguatkuasaan untuk tingkatkan keberkesanan dan perlindungan pengguna.
  • Kesedaran masyarakat, kerjasama awam swasta dan inisiatif seperti RHB CyberSecure penting untuk lindungi PKS daripada ancaman penipuan digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026-2030 yang kini berada pada fasa pemurnian terakhir akan dibentangkan secara bersepadu pada suku ketiga tahun ini.

Menurut beliau, strategi berkenaan dirangka bagi memastikan rakyat mempunyai keyakinan untuk menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) tanpa rasa bimbang terhadap risiko ketirisan data.

“Isu utama ialah keselamatan. Apabila kita bergerak ke era digital dan menggalakkan penggunaan platform serta teknologi baharu, kita mesti memastikan keyakinan rakyat terus kukuh. Adaptasi hanya akan berlaku jika mereka yakin sistem itu selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Perbankan RHB dan CyberSecurity Malaysia (CSM) bersempena pelancaran Program Kepercayaan Digital RHB di sini, hari ini.

Gobind berkata, strategi tersebut bukan sekadar garis panduan dasar, sebaliknya akan disokong dengan penstrukturan semula agensi penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan dan memberi impak perlindungan maksimum kepada pengguna.

Menurut beliau, CSM akan diberi mandat sebagai agensi utama pelaksana, termasuk melalui penubuhan bahagian khas bagi memantau serta menangani kelemahan dalam sistem keselamatan siber.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkukuh keselamatan siber turut memerlukan kesedaran kendiri masyarakat terhadap risiko ancaman digital serta langkah perlindungan dalam penggunaan harian.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama sektor swasta dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara, termasuk inisiatif seperti aplikasi penilaian kendiri keselamatan siber “RHB CyberSecure” yang dilihat mampu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memahami risiko penipuan digital.

Katanya, pembinaan ekosistem siber yang kukuh memerlukan kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta bagi memastikan data rakyat dalam ekosistem digital sentiasa terlindung daripada ancaman siber yang semakin kompleks.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.