
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Program Perlis Showcase 2026: Dari Sempadan ke Kota Raya anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi platform memperkukuh pembangunan usahawan negeri, di samping mempromosikan produk tempatan kepada masyarakat khususnya di Lembah Klang.
- Program mencerminkan hubungan erat antara MARA, kerajaan negeri dan institusi diraja Perlis.
- MARA menyediakan pelbagai program pembangunan usahawan dan pameran negeri bulanan yang mendapat sambutan.
- Perlis Showcase himpunkan 21 usahawan tempatan, fokus juadah tradisional termasuk mangga Harum Manis, sasaran jualan RM300,000.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program berkenaan turut mencerminkan hubungan erat antara agensi itu dengan kerajaan negeri serta institusi diraja negeri Perlis.
Menurut beliau, sambutan terhadap program pameran negeri-negeri yang dianjurkan MARA pada setiap bulan amat menggalakkan, terutama dalam kalangan pengunjung yang mencari makanan dan produk usahawan tempatan.
“Seperti sedia maklum, sektor keusahawanan MARA menyediakan pelbagai program pembangunan usahawan dan program pameran negeri-negeri yang kini menjadi sinonim dengan MARA di ibu pejabat ini.
“Setiap bulan, program seperti ini dianjurkan dan sentiasa mendapat sambutan hebat daripada pengunjung, khususnya di Lembah Klang.
“Menerusi Perlis Showcase 2026, MARA membawa usahawan-usahawan dari negeri Perlis termasuk juadah dan makanan tradisional yang sentiasa dinanti-nantikan orang ramai.
“Kebiasaannya, ruang jualan makanan itulah yang paling mendapat sambutan, khususnya bagi mendapatkan pelbagai juadah dari negeri Perlis.
“Sudah tentu antara yang paling dinanti-nantikan ialah mangga Harum Manis. Patik sendiri merupakan peminat setia Harum Manis Perlis,” katanya ketika berucap dalam Majlis Santapan Diraja bersempena Perlis Showcase 2026 di Medan MARA di sini.
Program itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan menyempurnakan perasmian program berkenaan.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program yang berlangsung selama tiga hari hingga esok menghimpunkan 21 usahawan tempatan dari Perlis dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM300,000.
Ia juga merupakan usaha berterusan MARA dalam menyediakan ekosistem halal menerusi peningkatan infrastruktur di 20 lot MARA Halal Industrial Park (MHIP) Kuala Perlis.