
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini melancarkan Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT yang berpangkalan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tok Beng, Kuala Nerus.
- PBSNT bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.
- Akademi mula beroperasi Januari 2026, menumpukan pembangunan pemain bawah 11 dan 12 tahun sebagai laluan elit.
- Siri pencarian bakat memilih 42 peserta yang dibimbing oleh empat jurulatih PBSNT.
- Akademi akan menyertai Liga Remaja Kebangsaan bawah 12 tahun pada 6 Jun sebagai pendedahan awal.
Timbalan Presiden PBSNT Datuk Rosli Latif berkata penubuhan akademi itu adalah hasil kerjasama antara pihaknya dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Beliau berkata inisiatif itu diambil bagi memastikan pembangunan bakat muda bola sepak negeri bergerak secara lebih tersusun, berterusan dan sistematik.
“Akademi ini mula beroperasi pada Januari 2026 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pemain kategori bawah 11 dan 12 tahun sebagai asas kepada laluan pembangunan pemain elit di Terengganu.
“SK Bukit Tok Beng telah dipilih sebagai pusat latihan rasmi kerana mempunyai kemudahan lengkap, termasuk padang latihan serta fasiliti asrama desa bagi menempatkan pemain terpilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosli berkata pihak akademi telah melaksanakan siri pencarian bakat pada tahun lepas untuk memilih 42 peserta yang akan dibimbing oleh empat jurulatih di bawah kendalian PBSNT.
Beliau berkata sebagai pendedahan awal, Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT akan menyertai Liga Remaja Kebangsaan bagi kategori bawah 12 tahun anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 6 Jun depan.
“Sebanyak 26 pemain bawah 12 tahun dan 16 pemain bawah 11 tahun dipilih menyertai Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT. Melalui struktur pembangunan sedia ada, PBSNT kini menyediakan laluan pembangunan pemain lebih jelas bermula usia 11 tahun.
“PBSNT sentiasa mengambil tanggungjawab proaktif untuk memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda Terengganu diperkasa melalui sistem yang lebih tersusun serta kompetitif,” katanya.-BERNAMA