Gagal kemuka dokumen pengenalan diri, lapan warga Myanmar ditahan

FOTO PGA


TANAH MERAH, 21 Mei
– Seramai lapan warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditahan dalam satu operasi bersepadu Op Taring Wawasan Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan sah apabila diminta pihak polis.
  • Serbuan dijalankan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan bersama JSJ IPD Tanah Merah di Kampung Bendang Nyior.
  • Mereka mengaku masuk kira-kira 2024 melalui ejen Bangladesh bernama 'Budi' dengan bayaran sekitar RM2,500; disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Menurut Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain, kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah ketika diminta pihak polis.

Kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Operasi dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Tanah Merah, malam tadi.

“Serbuan dilakukan kira-kira pukul 9.00 malam di sebuah rumah di Kampung Bendang Nyior, Tanah Merah, selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan berkenaan.

“Antara yang ditahan ialah dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, tiga remaja lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka mengaku memasuki Malaysia sekitar tahun 2024 dengan bantuan seorang ejen warga Bangladesh dikenali sebagai “Budi” yang didakwa mengenakan bayaran kira-kira RM2,500 bagi setiap individu.

“Mereka juga dipercayai bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Tanah Merah dan menyewa rumah daripada seorang lelaki tempatan dengan kadar sewa RM250 sebulan,” katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di lokap IPD Tanah Merah sehingga siasatan selesai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.