Pengurusan haji perlu diperkasakan seiring perubahan semasa

Foto BERNAMA

JEDDAH, 21 Mei -Pengurusan ibadah haji perlu sentiasa diperkasakan menerusi pendekatan ijtihad kontemporari seiring dengan perubahan semasa, termasuk dalam aspek kesihatan, teknologi serta keselamatan jemaah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman pandemik COVID-19 menegaskan perlunya ijtihad pantas dan tepat untuk keputusan hukum serta fatwa mengikut realiti semasa.
  • Peranan Lembaga Tabung Haji membuktikan ia bukan sekadar tabung, tetapi sistem pengurusan haji tersusun, komprehensif dan efisien.
  • Malaysia komited kepada ijtihad kolektif kontemporari, melibatkan pakar pelbagai bidang demi relevansi pelaksanaan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pengalaman mendepani pandemik COVID-19 sebelum ini membuktikan kepentingan ijtihad dalam memastikan setiap keputusan hukum dan fatwa dapat diputuskan dengan pantas serta tepat mengikut realiti semasa.

Katanya , peranan yang dilaksanakan oleh TH membuktikan bahawa institusi itu bukan sahaja berperanan sebagai tabung simpanan umat Islam, tetapi sebagai sistem pengurusan haji yang tersusun dan komprehensif.

Dalam pembentangannya di Grand Hajj Symposium, beliau berkata, Malaysia komited terhadap pendekatan ijtihad kolektif dan kontemporari dalam pengurusan ibadah haji bagi memastikan pelaksanaan rukun Islam kelima itu terus relevan dengan cabaran semasa.

“Apa yang dibincangkan dalam simposium ini melibatkan perkembangan terkini dari sudut fiqh, maqasid serta teknologi, termasuk peranan Lembaga Tabung Haji yang memberi manfaat kepada dhuyufurrahman di seluruh dunia.

“Saya juga menzahirkan tahniah kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang menginspirasikan tema perbincangan ini, dan kita dapat melihat perjalanan ibadah haji kini semakin baik,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Simposium Haji Perdana ke-50 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, pengurusan haji masa kini tidak lagi tertumpu kepada aspek ibadah semata-mata, sebaliknya turut merangkumi isu kesihatan awam, penggunaan teknologi digital serta pengurusan jutaan jemaah secara serentak.

Dr Zulkifli berkata, Malaysia mempunyai asas dan kerangka kukuh untuk mendepani cabaran berkenaan menerusi institusi agama, muzakarah serta pembabitan pakar daripada pelbagai bidang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Lembaga Tabung Haji terus memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan haji Malaysia kekal tersusun, efisien dan relevan dengan keperluan semasa.

Simposium Haji Perdana (Grand Hajj Symposium) ke-50 yang dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu antara lain membincangkan fiqh isu asas agama Islam berkaitan haji khususnya berhubung kemudahan untuk
umatnya.

Ia turut dihadiri lebih 500 menteri agama, ulama dan pemikir dari 60 negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.