
ASHDOD, 20 Mei – Ratusan aktivis flotila yang dalam pelayaran ke Gaza ditahan di pelabuhan utama Israel selepas pasukan tentera rejim zionis itu meintas kapal mereka di laut.
- Flotila Global Sumud belayar dari Turki sebagai percubaan memecah sekatan rejim zionis ke atas wilayah Palestin.
- 430 aktivis berada di atas flotila; sebahagiannya dibawa dan ditahan di pelabuhan Ashdod.
- Rejim zionis menuduh aktivis menyokong pejuang Hamas; Netanyahu dakwa flotila berniat jahat.
Menurut sebuah pertubuhan hak asasi manusia, Adalah, Flotila Global Sumud belayar dari Turki minggu lalu dalam percubaan terbaru untuk memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu.
430 aktivis berada di atas flotila tersebut dan sebahagiannya telah dibawa dan ditahan di pelabuhan Ashdod.
“Setelah belayar menuju Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan mencabar sekatan haram, peserta awam ini telah diculik secara paksa dari perairan antarabangsa dan dibawa ke wilayah Israel sepenuhnya tanpa kehendak mereka.
“Tindakan ini merupakan lanjutan langsung daripada dasar Israel yang menghukum dan menyekat hak rakyat Palestin di Gaza secara kolektif,” jelas Adalah.
Tel Aviv menolak operasi aktivis berkenaan dan mendakwa mereka menyokong pejuang Hamas.
Jurucakap Kementerian Luar Israel memaklumkan, kesemua 430 aktivis telah dipindahkan ke kapal dan sedang menuju ke Israel.
”Mereka (aktivis) akan bertemu dengan wakil konsulat negara masing-masing,” jelas kementerian tersebut.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh armada flotila berniat jahat dan diwujudkan untuk memecahkan sekatan rejim zionis ke atas pejuang Hamas di Gaza.
Rejim zionis Israel mengawal semua pintu masuk ke Gaza yang dikenakan sekatan sejak 2007.-AFP