
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Jelajah kejohanan e-sukan universiti, ACS EDU Tour Musim Ke-5, menawarkan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM200,000 selain memperkenalkan inisiatif baharu bagi memperkasa pembangunan bakat mahasiswa dalam industri e-sukan.
- Memperkenalkan Siri Wanita bagi membuka ruang khusus kepada atlet e-sukan wanita universiti berdaya saing dan persekitaran lebih selamat.
- Jelajah meliputi 111 lokasi di 14 negeri dengan peringkat kelayakan universiti, pusingan negeri dan pusingan akhir 4 hingga 6 Disember.
- Inisiatif mencari bakat pengulas e-sukan pelajar serta pendedahan kepada pengurusan acara, pengulasan dan penciptaan kandungan digital.
Musim kali ini turut melibatkan jelajah di 111 lokasi di 14 negeri merangkumi beberapa peringkat pertandingan iaitu kelayakan universiti, peringkat negeri dan pusingan akhir yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 6 Disember depan.
Antara pembaharuan utama ialah pengenalan Siri Wanita yang membuka ruang khusus kepada atlet e-sukan wanita universiti untuk bersaing dalam persekitaran lebih kompetitif dan selamat.
Selain itu, penganjur turut memperkenalkan inisiatif mencari bakat baharu pengulas e-sukan dalam kalangan pelajar universiti di seluruh negara.
Sementara itu, Penasihat Kelab e-Sport Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Hafizz Zanial, berkata perkembangan e-sukan bukan sekadar permainan, sebaliknya membuka peluang luas kepada mahasiswa untuk menceburi bidang pengulasan, pengurusan acara serta penciptaan kandungan digital.
Beliau berkata, program seperti ini juga memberi pendedahan industri kepada mahasiswa serta membuka ruang dalam pembangunan keusahawanan dan ekosistem e-sukan negara.
Jelajah ACS EDU Tour Musim Ke-5 itu secara rasmi bermula di UPTM, Taman Shamelin Perkasa, hari ini.
Penganjuran yang memfokuskan segmen pemain amatur mempertandingkan permainan Mobile Legends: Bang Bang itu dijangka menarik penyertaan besar apabila menarik lebih 6,200 peserta serta 1,552 pasukan, 32 pasukan adalah wakil pelajar UPTM.
Kejohanan tersebut memasuki tahun keempat penganjurannya dan terus memperkukuh kedudukan sebagai antara platform pembangunan e-sukan peringkat universiti terbesar di negara ini selepas mencatat tiga pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.