
JAKARTA, 21 Ogos – Menteri Pertahanan China, Dong Jun, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, pada Jumaat bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
- Dong disambut dengan kawalan kehormatan tentera semasa tiba di Kementerian Pertahanan Indonesia.
- Kerjasama ketenteraan mempunyai potensi besar untuk melindungi kepentingan nasional dan menghadapi ancaman luar.
- Aktiviti pertahanan akan dipertingkat termasuk latihan bersama, pertukaran pegawai dan kerjasama industri pertahanan.
- Menteri Luar China Wang Yi lawat Jakarta, dijangka sertai mesyuarat 2+2 bersama menteri pertahanan.
Dong disambut dengan kawalan kehormatan tentera ketika tiba di Kementerian Pertahanan Indonesia.
Beliau berkata, kerjasama antara angkatan tentera kedua-dua negara mempunyai potensi besar, termasuk meningkatkan keupayaan melindungi kepentingan nasional serta menghadapi ancaman luar.
“Prospek kerjasama ketenteraan kedua-dua negara semakin luas, selain menjadi lebih berkualiti dan berkesan”, katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin berkata aktiviti pertahanan antara kedua-dua negara akan dipertingkat, termasuk latihan ketenteraan bersama, pertukaran pegawai serta kerjasama dalam industri pertahanan.
“Ini merupakan langkah positif dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan Indonesia, baik pada masa kini mahupun pada masa hadapan,” kata Sjafrie.
Dalam pada itu, Menteri Luar China, Wang Yi, yang turut mengadakan lawatan ke Jakarta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun, bertemu rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono. Wang dijadual menyertai mesyuarat “2+2” bersama menteri pertahanan kedua-dua negara.-REUTERS