SPACE@MC platform baharu pelajar Masscomm UiTM asah kreativiti

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Ts. Sr. Dr. Md Yusof Hamid (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Dekan FKPM, Profesor Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman/Foto UiTM

SHAH ALAM, 20 Mei – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini memiliki ruang pembelajaran pintar baharu dikenali sebagai SPACE@MC yang dijangka memperkukuh pengalaman pembelajaran pelajar selaras perkembangan industri komunikasi dan media masa kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPACE@MC sebagai ruang pembelajaran pintar baharu di FKPM untuk memperkukuh pengalaman pembelajaran selaras perkembangan industri komunikasi dan media.
  • Dijadual digunakan sepenuhnya pada sesi pengajian September 2026 dan dilengkapi teknologi moden, mampu menampung sehingga 22 pengguna.
  • Pelaburan strategik ini menyokong pengajaran interaktif, fleksibel dan kolaboratif serta melahirkan graduan kompeten, celik teknologi dan berdaya saing tinggi.

Kemudahan berkonsepkan Smart Platform for Advanced Communication Education itu dijadual digunakan sepenuhnya pada sesi pengajian September 2026.

Projek bernilai hampir RM287,000 yang diuruskan Pejabat Pembangunan UiTM itu dilengkapi teknologi moden dan mampu menempatkan sehingga 22 pengguna dalam satu masa.

Menurut Dekan FKPM, Profesor Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman, SPACE@MC bakal menjadi platform pembelajaran lebih interaktif, fleksibel dan kolaboratif untuk pensyarah serta pelajar.

“Dalam landskap pendidikan tinggi yang sentiasa berubah, penambahbaikan fasiliti dan infrastruktur bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan.

“FKPM komited memastikan pelajar dan pensyarah mempunyai akses kepada ruang pembelajaran yang menyokong pengajaran lebih efektif, interaktif dan selari dengan perkembangan industri komunikasi dan media global,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata SPACE@MC bukan sekadar ruang pembelajaran baharu, sebaliknya pelaburan strategik dalam melahirkan graduan yang kompeten, celik teknologi dan berdaya saing tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Ts. Sr Dr. Md Yusof Hamid turut menyerahkan replika kunci projek kepada Dr. Abd. Rasid sebagai simbolik penyerahan kemudahan berkenaan.

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.