
WASHINGTON, 20 Mei – Amerika Syarikat masih mempertimbangkan beberapa pilihan berhubung penempatan 4,000 anggota tentera yang dijadual dihantar ke Poland, negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- JD Vance: perubahan adalah penangguhan penggiliran tentera, bukan penarikan besar; tiada keputusan muktamad mengenai penempatan baru.
- AS akan susun semula sumber untuk memaksimumkan keselamatan negara; Vance kata AS bukan polis dunia dan mahu sekutu ambil lebih tanggungjawab.
- Poland bimbang kerana kehadiran AS jadi tonggak pertahanan; Perdana Menteri Tusk kata keputusan bersifat logistik, pencegahan masih utuh.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Amerika, JD Vance dalam taklimat kepada media di White House pada Selasa.
“Kami tidak bercakap tentang mengundurkan setiap anggota tentera AS dari Eropah. Kami bercakap mengenai penyusunan semula beberapa sumber dengan cara yang memaksimumkan keselamatan AS.
“Saya tidak fikir itu buruk untuk Eropah. Ia sebenarnya menggalakkan Eropah mengambil lebih banyak tanggungjawab.
“AS tidak boleh menjadi polis dunia. Kami mahu menjadi sekutu yang baik. Kami mahu memastikan kehadiran tentera kami membantu kestabilan serantau di Eropah.
“Presiden tidak pernah berkata, walaupun beliau boleh berbuat demikian, bahawa beliau akan mengeluarkan semua tentera dari Eropah, tetapi Eropah perlu berdiri atas kaki sendiri,” kata Vance.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas media AS melaporkan Pentagon membatalkan penempatan giliran kira-kira 4,000 anggota tentera daripada Divisyen Berkuda Pertama Tentera Darat AS ke Poland.
Penempatan itu dilaporkan sudah berada pada peringkat persiapan lanjut sebelum dihentikan.
Vance menyifatkan perubahan itu sebagai penangguhan penggiliran tentera.
“Anggota tentera itu mungkin dihantar ke lokasi lain di Eropah dan kami juga boleh memutuskan untuk menghantar mereka ke tempat lain.
“Kami sebenarnya masih belum membuat keputusan muktamad mengenai ke mana mereka akan ditempatkan, tetapi apa yang saya katakan ialah tidak tepat untuk menyatakan bahawa kami sedang menarik keluar sejumlah besar tentera,” katanya lagi.
Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan kebimbangan di Poland kerana kehadiran tentera AS menjadi antara tonggak utama dasar pertahanan negara itu sejak bermulanya perang Rusia-Ukraine pada 2022.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menerima jaminan bahawa keputusan itu bersifat logistik dan bukannya strategik, sambil menegaskan keupayaan pencegahan keselamatan masih kekal utuh.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan transatlantik perlu terus dipertahankan, walaupun wujud perbezaan pandangan mengenai perkongsian beban dalam NATO. -REUTERS