
KUALA LUMPUR, 20 Mei– Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyambut baik serta menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kebajikan para atlet terus diberi keutamaan dalam setiap pengurusan peruntukan sukan negara.
- Pendekatan positif diperlukan supaya dana disalurkan dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan atlet.
- Kebajikan atlet termasuk pakaian, elaun dan kemudahan lain perlu diberi perhatian walaupun peruntukan kadangkala tidak mencukupi.
- Skuad kuadran negara berjaya raih gelaran juara dunia selepas menundukkan India 2-0.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan pendekatan tersebut sebagai satu langkah positif yang amat diperlukan bagi memastikan setiap dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan atlet di semua peringkat.
“Saya amat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri. Kadangkala peruntukan yang sedia ada mungkin masih belum mencukupi untuk memenuhi keseluruhan aspek kebajikan atlet, yang mana ia merangkumi keperluan asas seperti pakaian, elaun dan kemudahan lain.
Oleh itu, kita di peringkat persatuan akan memberikan perhatian yang serius terhadap perkara ini. Saya juga percaya semua persatuan sukan lain akan mengambil maklum amanat Perdana Menteri supaya kebajikan atlet dapat dipelihara dengan sebaiknya, selaras dengan peruntukan yang diterima,” kata Datuk Mohd Sumali.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat aksi final acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa, malam tadi (19 Mei).
Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025 pada Selasa menegaskan bahawa aspek kebajikan atlet serta peruntukan sukan akan terus dipelihara, meskipun negara kini berdepan dengan kekangan kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Sumali turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan skuad kuadran negara yang muncul juara dunia selepas menundukkan India 2-0 menerusi kemenangan straight set pada perlawanan akhir tersebut.