
SAUDARA PENGARANG
- Memperkasa pemimpin akar umbi dengan latihan AI agar mereka menjadi agen pelaksana aktif dalam pengurusan data dan perkhidmatan komuniti.
- Perlu modul berperingkat: digitalisasi dokumen, visualisasi GIS, komunikasi digital dan penggunaan alat AI untuk pengurusan kampung.
- Kerjasama kerajaan, industri dan akademia penting untuk sediakan dasar, alat, platform dan modul latihan sesuai tahap pemimpin.
- Latihan etika, keselamatan data dan sijil kecekapan diperlukan untuk penggunaan bertanggungjawab serta pengiktirafan kemahiran komuniti.
Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara menggunakan kecerdasan buatan atau AI yang kompetitif menjelang tahun 2030. Selaras dengan hasrat itu, pelbagai inisiatif digital sedang giat dilaksanakan di negara ini.
Antara inisiatif tersebut termasuklah pengenalan dokumen perundangan seperti Akta Perkongsian Data, Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Kebangsaan (AIGE) bagi memastikan pembangunan AI mengikut nilai norma dan kemanusiaan.
Inisiatif Kerajaan Perkukuh Penguasaan Teknologi Digital dan AI
Usaha tersebut diperkukuhkan lagi seperti terkandung dalam pelan pembangunan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meletakkan AI sebagai pemacu ekonomi utama dalam era teknologi digital.
Bagi menyokong celik AI dalam kalangan komuniti pula, kerajaan mengambil langkah membina infrastruktur untuk membuka peluang kepada rakyat mengikuti arus perkembangan digital seperti penubuhan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan pelaksanaan desa pintar.
Langkah itu dilaksanakan dengan objektif memperkasa komuniti menerusi penggunaan data dan teknologi bagi pengurusan kampung menggunakan aplikasi pintar.
Selain pembangunan infrastruktur, tumpuan kerajaan turut merangkumi aspek pembangunan teknologi, bakat, pelaburan strategik dan tadbir urus bagi menjadikan Malaysia hab serantau untuk pembangunan teknologi AI.
Usaha-usaha pemerkasaan AI dilihat menjadi sebahagian arahan dasar di bawah inisiatif strategik semasa seperti Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025, pemberian status Malaysia Digital dan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) 2026-2030.
Bagaimanapun, integrasi AI ini tidak seharusnya terhenti di peringkat sektor perniagaan dan pentadbiran pusat tetapi mempunyai potensi lebih luas jika melibatkan kepimpinan akar umbi dengan lebih aktif.
Antaranya menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Majlis Pembangunan dan Kemajuan Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).
Ini kerana, peranan pemimpin akar umbi mempunyai hubung kait rapat dengan inisiatif kerajaan dan kesejahteraan rakyat melalui penerapan teknologi digital dan AI.
Langkah ini dapat mengurangkan jurang dari segi memanfaatkan kelebihan AI di peringkat kepimpinan akar umbi memandangkan Malaysia mempunyai liputan rangkaian Internet yang baik.
Sebagai contoh, ketersediaan infrastruktur Internet dan teknologi digital tidak selari dengan kemahiran teknikal pemimpin komuniti akar umbi iaitu majoriti masih tidak memanfaatkan teknologi AI dalam pengurusan pentadbiran mereka, sebaliknya terus selesa menggunakan kaedah manual.
Jika mereka menguasai teknologi digital dan AI dengan baik, proses kemas kini maklumat demografi komuniti misalnya, dapat dibuat dengan lebih cepat dan efektif.
Ini termasuk proses memperkemas portfolio penduduk dalam kawasan mereka dapat dibuat dengan lebih sistematik apabila pemimpin akar umbi ini menguasai kemahiran teknologi dan AI.
Secara langsung, penguasaan AI dalam kalangan pentadbiran akar umbi selari dengan matlamat utama inisiatif AI iaitu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan kesejahteraan rakyat ditingkatkan dari masa ke semasa.
Menerusi pelan pembangunan digital dan AI, kerajaan mahu memastikan sehingga 90 peratus kawasan luar bandar mendapat perkhidmatan berasaskan AI.
Justeru, tidak boleh dinafikan terdapat keperluan untuk melatih semua kepimpinan akar umbi di negara ini dengan kemahiran AI supaya pengurusan data demografi penduduk dapat dilaksana secara pintar dan lebih cekap.
Selain kemahiran AI, latihan berkaitan dengan etika dan keselamatan AI juga perlu diperkenalkan bagi memastikan data privasi penduduk dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
Kemahiran AI yang dimiliki oleh pemimpin komuniti tersebut dapat menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai jumlah seramai 2 juta rakyat Malaysia mahir menggunakan AI pada tahun 2030 nanti.
Cadangan Jenis Kemahiran AI untuk Pemimpin Akar Umbi dan Komuniti
Usaha pemantapan latihan AI kepada kepimpinan akar umbi memerlukan sokongan serta kerjasama pelbagai pihak terutama kerajaan dan industri serta sektor akademik dan komuniti yang mempunyai sumber dan kepakaran masing-masing.
Pihak kerajaan boleh menyediakan kerangka dasar, garis panduan dan bantuan data, manakala pihak industri seperti syarikat teknologi seperti Google dan Microsoft boleh menyediakan peralatan dan platform latihan.
Pihak universiti melalui fakulti berkaitan pengkomputeran dan pembangunan program AI pula boleh menyumbang dengan membangunkan modul latihan kemahiran berasaskan AI bersesuaian dengan tahap kefahaman pemimpin komuniti.
Bagi pemimpin komuniti sendiri, peranan mereka tidak seharusnya terhad kepada sekadar menyokong atau menghadiri program, tetapi perlu diperkasakan sebagai agen pelaksana yang aktif dan berkesan.
Ini bermakna pemimpin komuniti harus memainkan peranan penting dalam memastikan setiap program pembangunan kemahiran yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar, mencapai sasaran kumpulan, serta memberi impak yang berpanjangan kepada masyarakat setempat.
Sebagai agen pelaksana, pemimpin komuniti perlu bertindak sebagai penghubung utama antara pihak penganjur dan komuniti.
Mereka bertanggungjawab menyampaikan maklumat secara jelas, menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan ahli komuniti, serta mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat agar program yang dijalankan lebih relevan dan berkesan.
Selain itu, pemimpin juga perlu memantau pelaksanaan program, memastikan penyertaan berterusan, serta membantu menyelesaikan sebarang cabaran yang timbul sepanjang proses pelaksanaan.
Lebih daripada itu, pemimpin komuniti harus menjadi contoh teladan dengan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembelajaran dan peningkatan kemahiran.
Sikap proaktif ini mampu mempengaruhi ahli komuniti lain untuk turut serta dan melihat kepentingan pembangunan diri.
Dalam masa yang sama, pemimpin juga boleh menggalakkan budaya pembelajaran berterusan dengan menganjurkan aktiviti susulan seperti sesi perkongsian ilmu, latihan lanjutan atau bengkel komuniti.
Akhirnya, kejayaan sesuatu program pembangunan kemahiran banyak bergantung kepada tahap keterlibatan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh pemimpin komuniti.
Dengan pendekatan yang aktif, inklusif dan berstrategi, mereka bukan sahaja memastikan program berjalan dengan jayanya, tetapi juga berupaya membina komuniti yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan.
Terdapat cadangan beberapa jenis kemahiran latihan yang boleh dibangunkan kepada dua kategori kumpulan pemimpin akar umbi mengikut tahap kompetensi penggunaan AI.
Bagi kategori pertama, melibatkan pemimpin akar umbi berada pada tahap pemula penggunaan AI iaitu kemahiran asas yang diberikan dalam tiga fasa.
Fasa pertama, latihan berkaitan penukaran maklumat dan fail fizikal kepada format digital menggunakan perisian Google workspace atau Microsoft 365.
Latihan ini dapat membantu pemimpin komuniti menyimpan maklumat asas penduduk dalam storan awam yang selamat supaya tidak hilang jika berlaku sebarang krisis bencana alam seperti banjir.
Fasa kedua melibatkan visualisasi data dan pemetaan menggunakan perisian Geographical Information System (GIS) bagi membolehkan profil dan maklumat kampung dipetakan dalam bentuk visual.
Misalnya, pemetaan data berkaitan dengan lokasi rumah warga emas dan pesakit terlantar untuk membantu pasukan penyelamat semasa kecemasan.
Begitu juga pemetaan data jenis perniagaan penjaja kecil di sesebuah perkampungan yang bertujuan memudahkan saluran bantuan dari agensi berkaitan yang tepat mengikut keperluan sebenar.
Ketiga adalah fasa komunikasi digital yang melibatkan penggunaan media sosial dan aplikasi pemesejan secara profesional seperti penggunaan aplikasi Canva yang membolehkan pemimpin komuniti membuat poster program aktiviti atau hebahan kepada penduduk kampung dengan mudah, menarik dan meluas.
Kategori kedua, melibatkan kumpulan pemimpin komuniti yang sudah agak ke hadapan dari segi kemahiran AI.
Bagi kategori ini, penawaran modul latihan khusus disesuaikan dengan teknik pengajaran menggunakan alat dan teknologi janaan AI bagi mengurus minit mesyuarat serta perisian GIS atau pangkalan data awan (cloud) seperti Google Sheets untuk profil penduduk.
Bagi memastikan tahap kompetensi dapat dinilai, sijil kecekapan AI komuniti boleh diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan kepada pemimpin komuniti yang berjaya mendigitalkan data penduduk menggunakan latihan kemahiran AI yang diikuti.
Sebelum kemahiran AI dapat digunakan secara berkesan, kaedah ujian keberkesanan AI boleh diperkenalkan bagi membantu menguji sistem pintar dan keyakinan penggunaan AI oleh pemimpin komuniti.
Latihan kemahiran AI tersebut membolehkan pemimpin akar umbi menguasai ilmu dan kemahiran teknikal.
Lebih penting memastikan data dan fakta tepat diberikan bagi mengubah kualiti hidup penduduk di setiap ceruk kampung dan bandar selain membantu perancanganan pembangunan setempat yang efektif berasaskan data.
Usaha berterusan dan sokongan semua pihak menjadi penggerak bagi memastikan hasrat meletakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi berpaksikan teknologi pada tahun 2030 dapat dicapai dan tidak terkecuali penglibatan aktif pemimpin akar umbi dan komuniti.
Latihan kemahiran AI membina pemimpin akar umbi yang berkemahiran, kompeten dan membantu pembangunan sumber dan potensi penduduk setempat secara profesional dan menyokong visi negara untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup masyarakat.
Penglibatan aktif semua pihak dapat menjamin keberhasilan Malaysia dalam mengintegrasikan AI ke dalam urusan tadbir urus akar umbi dengan mengimbangi antara inovasi teknologi dan modal insan yang kompeten menjadikan Malaysia sebagai model rujukan oleh negara serantau.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf
Dekan, Pusat Pengajian Kerajaan (SoG)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: imah@uum.edu.my