
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini menggambarkan aktiviti perniagaan, pekerjaan dan pelaburan dalam negara kekal berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan global.
- Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada impak nyata dalam kehidupan harian rakyat.
- Rakyat lebih mementingkan kos sara hidup: harga pasar, minyak, sewa, bil elektrik, tuisyen, dan baki pendapatan.
- Perkukuh keyakinan pelabur melalui kemasukan pelaburan bernilai tinggi dan ekosistem perniagaan yang kondusif.
- Dasar jelas dan pelaksanaan projek pantas penting untuk mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama serta memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berpendapat, perkembangan itu berkait rapat dengan kelangsungan pendapatan rakyat, selain mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi itu perlu diterjemahkan kepada kesan yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan harian agar mereka memahami makna sebenar perkembangan ekonomi negara.
“Rakyat tidak terlalu melihat isu KDNK. Mereka melihat apa yang dibayar di pasar, harga dapur, minyak kereta, sewa rumah, bil elektrik, tuisyen sekolah dan baki pendapatan pada hujung bulan.” katanya dalam program Tanya Terus di TV1.
Tambahnya, keyakinan terhadap ekonomi negara juga perlu diperkukuh oleh kemasukan pelaburan bernilai tinggi, disokong ekosistem yang baik, dasar yang jelas serta pelaksanaan projek yang pantas.
Katanya, gabungan faktor itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus memberi manfaat kepada rakyat dan pada masa sama mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.