GSF 2.0 : Rakyat Malaysia yang ditahan Israel meningkat kepada 16

Ketua Pengarah SNCC menunjukan peta terkini Gaza pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC/ BERNAMA

SEPANG, 18 Mei – Lapan lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) malam ini, menjadikan keseluruhan 16 delegasi Malaysia disahkan ditahan setakat pukul 8.00 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 18 kapal flotila dengan hampir 150 aktivis kemanusiaan dipintas oleh tentera laut rejim Zionis Israel.
  • SNCC mengesahkan sembilan kapal melibatkan rakyat Malaysia telah ditahan dalam insiden terkini.
  • SNCC memaklumkan kepada Perdana Menteri, mohon kerajaan desak EU, Turkiye dan Sepanyol kecam serta bawa kes ke ICC.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Halim Araby berkata, sebanyak 18 buah kapal flotila melibatkan hampir 150 orang aktivis kemanusiaan telah dipintas oleh pihak IOF.

“SNCC mengesahkan sembilan (9) buah kapal melibatkan enam belas (16) rakyat Malaysia telah ditahan dalam insiden terkini”, katanya dalam sidang media perkembangan terkini misi itu malam ini.

Beliau berkata, lapan rakyat Malaysia yang baharu disahkan ditahan ialah Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari dari kapal Bianca ITA, Mohammad Farizzal Rostam serta Muhammad Zaid Abdul Karim dari kapal Gotico, selain Norazman Ishak dari kapal Abodes.

Turut ditahan Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli yang menaiki kapal Themis.

SNCC sebelum ini mengesahkan lapan rakyat Malaysia ditahan dalam insiden yang berlaku pada sebelah petang membabitkan lima kapal.

Mereka yang ditahan ialah aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menaiki kapal Amanda, Muhamad Muhsin Zaidi dari kapal Isobella, selain Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari dari kapal Cactus.

Turut ditahan pada peringkat awal ialah Patmanathan Sivasamy, Dr Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dari kapal Ferluto, serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dari kapal Josef.

Antara kapal yang dipintas dan ditahan ialah Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaros, Isobella, Tenaz, Vincovolo, Bianca ITA, Gotico, Abodes, Themis, Josef dan Sadabad.

Selain delegasi Malaysia, dua wakil antarabangsa turut ditahan iaitu Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad dari Pakistan yang menaiki kapal Zio Faster dan Andi Anga Prasadewa dari Indonesia di atas kapal Josef.

Datuk Sani Araby berkata, SNCC sudah memaklumkan perkembangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memohon campur tangan Kerajaan Malaysia untuk mendesak negara Kesatuan Eropah (EU), Turkiye dan Sepanyol mengecam tindakan pencabulan terhadap misi kemanusiaan tanpa kekerasan itu.

“Kita lihat kali ini mereka melakukan tindakan secara sengaja. Lagi banyak kapal yang ditahan di atas laut, lagi banyak bukti yang sedang Global Sumud Flotilla kumpulkan untuk heret mereka ke peringkat antarabangsa iaitu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.