KESUMA perkukuh pekerjaan berkualiti, tingkat pendapatan rakyat

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan

KUALA LUMPUR, 14 Mei -Dapatan laporan Malaysia Economic Monitor April 2026 oleh Bank Dunia selari dengan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memastikan agenda pekerjaan negara dipacu kemahiran, produktiviti dan padanan pasaran buruh yang lebih baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjamin pekerjaan sepadan kemahiran, produktif dan mampu meningkatkan pendapatan rakyat.
  • Sokong pelaburan AI, digital dan sektor bernilai tinggi melalui TVET dan pembelajaran sepanjang hayat.
  • Perkukuh MyMahir, FSTC, MyCOL dan AIRI untuk sejajarkan pembangunan kemahiran dengan keperluan industri.
  • Kerjasama rentas kementerian, MyFutureJobs dan agensi untuk padanan pekerjaan, kebolehpasaran dan perlindungan sosial pekerja terkesan teknologi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, laporan tersebut menggariskan bahawa cabaran utama Malaysia hari ini bukan lagi sekadar mewujudkan pekerjaan, tetapi memastikan pekerjaan yang diwujudkan benar-benar sepadan dengan kemahiran, produktif dan mampu meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau berkata, ia turut menekankan bahawa pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan sektor bernilai tinggi perlu disokong oleh ekosistem kemahiran yang lebih responsif kepada permintaan industri, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembelajaran sepanjang hayat dan penggunaan maklumat pasaran buruh secara lebih strategik.

“Laporan Bank Dunia ini mengiktiraf bahawa pembangunan bakat, kesiapsiagaan AI dan penggunaan maklumat pasaran buruh yang tepat memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia mampu membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi serta teknologi.

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13, KESUMA melalui TalentCorp terus memperkukuh ekosistem MyMahir termasuk Future Skills Talent Council (FSTC), penggunaan data Critical Occupations List (MyCOL) serta pelaksanaan AI Readiness Index (AIRI) bagi memastikan pembangunan kemahiran negara lebih selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dapatan laporan Malaysia Economic Monitor April 2026 oleh Bank Dunia bertajuk “Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda” yang dilancarkan menekankan bahawa agenda pekerjaan negara perlu dipacu oleh produktiviti, pembangunan bakat dan penciptaan pekerjaan berkualiti bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, Laporan Bank Dunia tersebut turut mengiktiraf kepentingan inisiatif seperti MyMahir FSTC, platform MyMahir dan penggunaan maklumat pasaran buruh seperti MyCOL dalam membantu Malaysia membina ekosistem kemahiran yang lebih responsif dan dipacu permintaan industri.

Katanya, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh bakat masa depan negara, KESUMA juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai laluan kerjaya masa depan termasuk TVET, Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital, AI dan sektor berkemahiran tinggi agar pelajar dapat membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih bermaklumat sebelum memasuki pasaran kerja.

“KESUMA akan terus bekerjasama merentas kementerian bersama agensi di bawahnya serta rakan strategik industri bagi memastikan pembangunan kemahiran, latihan dan intervensi bakat dilaksanakan secara lebih berfokus, responsif dan berpaksikan hasil.

“Ini termasuk usaha meningkatkan padanan pekerjaan menerusi MyFutureJobs, memperkukuh kebolehpasaran bakat tempatan serta membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengakses pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan lebih baik,” tambah beliau.

Beliau berkata pada masa sama, jabatan dan agensi di bawah KESUMA terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard perburuhan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hubungan perusahaan, TVET dan pembangunan bakat teknikal negara.

“Ini termasuk pensijilan, pasaran buruh, penempatan pekerjaan, peningkatan gaji, perlindungan sosial dan sokongan kepada pekerja yang terkesan oleh perubahan teknologi serta ketidaktentuan struktur ekonomi, sekali gus mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan memperkasa rakyat Malaysia untuk pekerjaan berproduktiviti tinggi,” katanya.

Tambah beliau, sejajar dengan semangat Pekerja MADANI Kesuma Bangsa, KESUMA komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan produktiviti negara diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih bermakna dan peluang masa depan yang lebih adil untuk seluruh rakyat Malaysia.