Hantavirus membabitkan MV Hondius tiada mutasi baharu

Hantavirus yang dikaitkan dengan kapal pelayar mewah MV Hondius setakat ini tidak bermutasi atau menunjukkan perubahan berbanding gejala sedia ada – Foto AFP

STOCKHOLM, 13 Mei – Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memaklumkan, hantavirus yang dikaitkan dengan kapal pelayar mewah MV Hondius setakat ini tidak bermutasi atau menunjukkan perubahan berbanding gejala sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bukti semasa menunjukkan penularan kemungkinan melalui satu kes jangkitan daripada haiwan kepada manusia.
  • ECDC mengesyorkan kuarantin ketat selama enam minggu untuk penumpang yang tidak bergejala.
  • Penyelidikan jejak penularan dan analisis genomik kini menjadi keutamaan; lebih banyak kes dijangka, namun bukan ancaman pandemik global.

Pakar Mikrobiologi dan Epidemiologi Molekul, Andreas Hoefer berkata, bukti semasa menunjukkan penularan kemungkinan berlaku melalui satu kes jangkitan daripada haiwan kepada manusia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media maya anjuran ECDC pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah ECDC, Pamela Rendi-Wagner berkata, pihaknya mengesyorkan kuarantin ketat selama enam minggu terhadap penumpang yang tidak bergejala.

Kuarantin ketat selama enam minggu disyorkan terhadap penumpang yang tidak bergejala – Foto AFP

Menurut beliau, penyelidikan mengenai jejak penularan dan analisis genomik kini menjadi keutamaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memaklumkan lebih banyak kes dijangka dikesan daripada kluster jangkitan yang berlaku di atas kapal pelayar mewah berkenaan ketika ekspedisi kutub dari Argentina.

Bagaimanapun, WHO menegaskan situasi berkenaan tidak menyerupai pandemik COVID-19 dan bukan ancaman pandemik global.

Sidang media maya anjuran ECDC diadakan bagi perkembangan terkini mengenai hantavirus – Foto AFP

Hantavirus lazimnya disebarkan oleh haiwan rodensia, namun dalam kes jarang berlaku ia boleh menular antara manusia melalui kontak rapat.

Tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah enam minggu dan kru kapal, penumpang serta individu yang mempunyai kontak rapat kini dikuarantin di beberapa negara Eropah. – Reuters