Warga emas maut, isteri parah disamun

Foto Hiasan

MANJUNG, 8 Mei – Seorang warga emas maut, manakala isterinya cedera parah dipercayai menjadi mangsa samun di kediaman mereka di Jalan Melayu, Ayer Tawar, Manjung awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menerima panggilan kira-kira jam 5.30 pagi di kaunter aduan Balai Polis Ayer Tawar.
  • Jiran yang terdengar bunyi bising membantu membawa pasangan berkenaan ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.
  • Polis menahan seorang lelaki 27 tahun, merampas beberapa barangan; suspek ada tujuh rekod lampau dan direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.30 pagi melalui kaunter aduan Balai Polis Ayer Tawar.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pasangan suami isteri terbabit diserang seorang lelaki tidak dikenali di rumah mereka.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

Suspek dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan sebuah beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Menurutnya, jiran yang terdengar bunyi bising kemudian membantu membawa pasangan itu ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

Namun, lelaki berusia 84 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Bertindak hasil risikan dan maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kira-kira jam 7.45 malam pada hari sama.

Polis turut merampas beberapa barangan milik mangsa yang dipercayai dilarikan suspek.

Siasatan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.