
KUCHING, 8 Mei -Satu lagi kematian di Sarawak dicatatkan akibat rabies melibatkan seorang lelaki warga emas dari Bintulu.
- Mangsa hanya mencuci luka seketika selepas digigit anak anjing, tidak mendapatkan suntikan vaksin atau rawatan lanjut.
- Mula mengalami kelemahan dan enggan minum air pada 26 April, dimasukkan ke Hospital Bintulu; ujian makmal mengesahkan rabies.
- Sejak pengisytiharan 2017, 94 kes manusia direkodkan, 87 membawa maut, kadar kematian mencapai 92.6 peratus.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan memaklumkan ia menjadikan jumlah kes dalam kalangan manusia meningkat kepada empat bagi tahun ini.
“Mangsa, 63 tahun meninggal dunia pada 3 Mei selepas disahkan dijangkiti rabies dan mempunyai sejarah digigit anak anjing pada pertengahan Februari lepas namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan… mangsa hanya mencuci luka dengan air dalam tempoh kurang daripada lima minit sebelum pulang ke rumah tanpa mendapatkan suntikan vaksin atau rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan mangsa mula mengalami kelemahan anggota badan serta enggan minum air pada 26 April lepas sebelum dibawa ke Hospital Bintulu pada hari yang sama, dan ujian makmal mengesahkan warga emas berkenaan dijangkiti rabies.
“Siasatan mendapati faktor risiko utama bagi kes ini ialah kelewatan mendapatkan rawatan selepas digigit haiwan… anjing yang menggigit juga tidak pernah menerima vaksinasi dan status jangkitan rabies haiwan tersebut tidak dapat dipastikan,” kata kenyataan itu lagi.
Sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017, sebanyak 94 kes membabitkan manusia direkodkan dengan 87 daripadanya membawa maut, menjadikan kadar kematian akibat penyakit itu mencecah 92.6 peratus.