Naquib sasar keputusan positif di Fuji, PCCA 2026

Naquib Azlan/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pelumba negara Naquib Azlan yang mewakili Porsche Malaysia menyasarkan keputusan positif pada Pusingan Lima dan Enam Kejuaraan Piala Porsche Carrera Asia (PCCA) 2026 di Litar Lumba Antarabangsa Fuji, Jepun, hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Musim debut selepas beralih dari perlumbaan simulasi ke kereta sebenar menunjukkan perkembangan positif; kumpul 32.5 mata, kedudukan keenam.
  • Banyak latihan menggunakan simulator, berasa positif dan menganggap setiap perlumbaan sebagai proses pembelajaran.
  • Bertekad memberi aksi terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia dalam baki musim.
  • Akui tahap saingan tinggi dan lonjakan standard berbanding perlumbaan di Malaysia; fokus pada prestasi sendiri.

Memandu jentera Porsche 911 GT3 Cup, beliau berkata musim debutnya selepas beralih daripada perlumbaan simulasi kepada jentera sebenar di litar menunjukkan perkembangan positif apabila mengumpul 32.5 mata untuk berada di tangga keenam daripada 28 pelumba keseluruhan.

“Litar Fuji sangat menarik. Saya suka berlumba di Jepun. Susun atur litar ini mencabar dan tidak mudah.

“Tetapi saya banyak melakukan latihan menggunakan simulator. Jadi saya rasa positif dan menganggap setiap minggu perlumbaan sebagai proses pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama antara Kumpulan AFFIN dan Porsche Malaysia, hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu turut bertekad untuk memberikan aksi terbaik bagi mengharumkan nama Malaysia dalam saingan PCCA 2026 yang masih berbaki sembilan pusingan.

“Saya fikir ini seperti yang dijangka kerana sebelum menyertai PCCA, kami sudah tahu tahap saingan sangat tinggi. Berbanding perlumbaan yang saya biasa di Malaysia, lonjakan tahapnya agak ketara.

“Kami tahu ia mencabar, tetapi kami memberi tumpuan kepada diri sendiri dan memastikan dapat memberikan prestasi terbaik yang mampu,” katanya.-BERNAMA