Jom Masuk Kampung dekati golongan memerlukan

Program Jom Masuk Kampung menyasarkan golongan yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan seperti individu Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, keluarga berpendapatan rendah, pesakit terlantar serta keluarga yang mempunyai tanggungan anak yang ramai termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

KANGAR, 4 Mei – Program Jom Masuk Kampung, satu inisiatif digerakkan Persatuan Solidariti Nasional Negeri Perlis sebagai satu tanggungjawab sosial mendekati dan menyalurkan bantuan serta menyelesaikan masalah berkaitan kediaman penduduk di kalangan keluarga kurang berkemampuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan ziarah rumah ke rumah proaktif memudahkan golongan memerlukan menerima bantuan dengan segera.
  • Program menyantuni lima keluarga di DUN Bintong, Kampung Abi Kubang Badak dan Kampung Ujong Bukit.
  • Persatuan menandatangani kerjasama dengan Zaha Bina Sdn Bhd untuk baiki rumah, peruntukan maksimum RM5,000 setiap rumah.

Pendekatan ziarah secara terus dari rumah ke rumah ini dilihat lebih proaktif dan memudahkan golongan memerlukan mendapatkan bantuan yang diperlukan dengan segera.

Menurut Pengerusi Persatuan Solidariti Nasional Negeri Perlis, Mohd Jeffry Hassan menerusi satu kenyataan memaklumkan, fokus utama program kasih menyasarkan golongan yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan seperti individu Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, keluarga berpendapatan rendah, pesakit terlantar serta keluarga yang mempunyai tanggungan anak yang ramai termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

“Pelaksanaan program sebegini mencerminkan keprihatinan berterusan pertubuhan bukan kerajaan dalam mendekati masyarakat akar umbi dengan penekanan kepada nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau memaklumkan ketika mengetuai Program Jom Masuk Kampung sekitar DUN Bintong dengan menyantuni lima keluarga di Kampung Abi Kubang Badak dan Kampung Ujong Bukit.

Bersempena program Jom Masuk Kampung juga, Persatuan Solidariti Nasional Negeri Perlis turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan Zaha Bina Sdn Bhd bagi membaik pulih kediaman penduduk yang rosak khususnya melibatkan dikalangan keluarga kurang berkemampuan.

Setiap rumah yang dikenalpasti akan dibaik pulih dengan peruntukan maksima sebanyak RM5,000.