
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Sistem integrasi log masuk tunggal (SSO) MyDigital ID serta proses integrasi dengan aplikasi MyJPJ berada dalam keadaan stabil dan berfungsi seperti yang dirancang, sekali gus membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan dengan lebih mudah dan selamat.
- Log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID menguatkan keselamatan siber melalui pengesahan identiti berasaskan rekod rasmi kerajaan.
- Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan pada pelbagai kata laluan, menurunkan risiko pencerobohan akaun, penipuan digital dan penyalahgunaan identiti.
- Pengguna disarankan memuat turun serta mengaktifkan aplikasi MyDigital ID dan memastikan kedua-dua aplikasi dikemas kini sepenuhnya.
- Sehingga kini, 7 juta pengguna MyJPJ mendaftar melalui MyDigital ID manakala jumlah pengguna MyDigital ID keseluruhan ialah 12 juta.
MyDigital ID menerusi kenyataan memaklumkan, pelaksanaan integrasi SSO bersama aplikasi MyJPJ yang telah dikuat kuasa pada 1 Mei lalu terus beroperasi dengan baik, lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.
“Pelaksanaan log masuk tunggal ini turut memperkukuh aspek keselamatan siber apabila pengguna hanya perlu melalui satu identiti digital yang disahkan, dengan pengesahan identiti merujuk kepada rekod rasmi kerajaan, bagi mengakses perkhidmatan kerajaan.
“Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai kata laluan, sekali gus membantu mengekang risiko pencerobohan akaun, penipuan digital serta penyalahgunaan identiti,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk memuat turun serta mengaktifkan aplikasi MyDigital ID bagi membolehkan akses ke MyJPJ melalui kaedah log masuk tunggal.
Sehingga kini, jumlah pengguna MyJPJ yang mendaftar dan log masuk menggunakan MyDigital ID telah mencecah sebanyak 7 juta, manakala jumlah keseluruhan pengguna MyDigital ID pula ialah sebanyak 12 juta.
Bagaimanapun kedua-dua aplikasi berkenaan perlu berada pada versi terkini dan telah diaktifkan sepenuhnya bagi menikmati pengalaman log masuk lebih lancar.
MyDigital ID terus bekerjasama erat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memastikan pengalaman pengguna sentiasa selamat, pantas dan mudah, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital negara.
Sebarang bantuan teknikal berkaitan dengan aplikasi MyDigital ID pengguna boleh menghubungi pihak kami di talian: +60386872772 atau menerusi emel: info@myid.my.