Pelajar parah nahas depan sekolah masih perlu rawatan susulan

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob

KOTA BHARU, 30 April – Pelajar perempuan yang cedera parah dalam kemalangan di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada 12 April lalu masih memerlukan rawatan susulan, meskipun telah dibenarkan pulang dari hospital Sabtu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa menerima rawatan di HRPZ II dan telah menjalani dua pembedahan termasuk prosedur terbaru membabitkan bahagian telinga.
  • Pembedahan telinga kedua berjaya, namun memerlukan susulan pakar bedah plastik, dianggarkan empat hingga lima sesi lagi.
  • Sokongan rawatan psikologi diteruskan kepada mangsa dan ahli keluarga untuk membantu proses pemulihan menyeluruh.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, mangsa, Zara Akhtar Zamzuri, 13, sebelum itu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Menurut beliau, pelajar berkenaan telah menjalani dua pembedahan termasuk prosedur terbaharu membabitkan bahagian telinga.

“Alhamdulillah pembedahan kedua yang berkaitan bahagian telinga berjaya, namun mangsa masih memerlukan perhatian daripada doktor pakar bedah plastik.

“Paling tidak, mungkin empat hingga lima sesi susulan lagi diperlukan memandangkan ia melibatkan pembedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Sarcoma Symposium 2026 di HRPZ II.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya turut meneruskan sokongan rawatan psikologi kepada mangsa serta ahli keluarga bagi membantu proses pemulihan secara menyeluruh.