
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan asas kecerdasan buatan (AI) menerusi mata pelajaran Teknologi Digital dalam Kurikulum Persekolahan 2027 di sekolah rendah dan sekolah menengah.
- Matlamat: murid bukan sahaja menggunakan AI tetapi menyemak fakta, menilai jawapan meragukan dan menggunakan teknologi secara beretika.
- Guru perlu terus diberi latihan untuk membimbing murid menghadapi perkembangan AI; 329,414 guru telah menerima latihan berkaitan AI.
- Lebih 1.5 juta murid telah mendapat pendedahan awal terhadap teknologi AI.
- Panduan literasi AI KPM (kuat kuasa 8 Mei 2024) menekankan penggunaan AI secara kritis, selamat, beretika dan tanggungjawab komuniti.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan memastikan murid bukan sahaja mampu menggunakan teknologi AI, malah berupaya menyemak fakta, menilai jawapan yang meragukan dan menggunakan teknologi berkenaan secara beretika.
Beliau berkata guru juga perlu terus diberikan latihan bagi memastikan mereka bersedia membimbing murid menghadapi perkembangan teknologi itu.
“Kita tidak boleh membiarkan anak-anak ketinggalan dalam era AI, tetapi kita juga tidak mahu kemajuan teknologi menjadikan mereka semakin bergantung pada peranti dan berhenti berfikir.
“Teknologi akan terus berubah, namun tanggungjawab mendidik tidak berubah. Kita mesti memastikan anak-anak kita terus berfikir, berpegang pada nilai kemanusiaan, yang penting sekali beradab walau apapun dasar ataupun pandangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan, di Dewan Rakyat.
Fadhlina berkata seramai 329,414 guru telah menerima latihan berkaitan AI.
Manakala lebih 1.5 juta murid telah mendapat pendedahan awal terhadap teknologi berkenaan.
Tambah beliau, panduan literasi AI KPM yang berkuat kuasa sejak 8 Mei 2024 lalu juga menekankan penggunaan AI secara kritis, selamat dan beretika.
“Dan panduan ini juga telah menekankan bahawa tanggungjawab termasuk ibu bapa, pentadbir, guru, malah anak-anak, dan komuniti bagi memastikan bahawa AI ini dipastikan dari segi penggunaannya digunakan dengan selamat,” katanya.