Keganasan domestik terhadap wanita jadi keutamaan KPWKM

Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) bercakap pada sidang media Mesyuarat Khas Penyelarasan Isu Kes Keganasan Rumah Tangga di Kuala Lumpur/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menegaskan sebarang bentuk keganasan domestik khususnya terhadap wanita, menjadi keutamaannya dan kementerian kerana ia merupakan jenayah yang membimbangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enggan ulas kes KRT tular kerana menghormati prosiding perundangan dan mengelakkan isu sub judice.
  • Keganasan rumah tangga dianggap jenayah serius; setiap kes disiasat menyeluruh sebelum maklumat dikongsi kepada umum.
  • KPWKM sedang menambah baik SOP, menangani kelemahan undang-undang dan meningkatkan advokasi berkaitan keselamatan.
  • Cabaran utama ialah tiada rekod khusus bagi pesalah berulang serta kekangan perundangan mendedahkan maklumat dan mencadangkan sistem rekod lindungi mangsa.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes keganasan rumah tangga (KRT) yang sedang tular ketika ini kerana menghormati proses perundangan serta mengelakkan isu ‘sub judice’.

“Sekiranya kes tersebut masih dalam prosiding mahkamah, ia bersifat sub judice. Maka, kami tidak boleh berbincang secara spesifik mengenai kes tersebut.

“Walau apa pun, secara prinsipnya sebarang bentuk keganasan rumah tangga adalah perkara yang sangat merisaukan kementerian,” katanya dalam Sidang Media Khas Isu Keganasan Rumah Tangga di sini, hari ini.

Beliau berkata, keganasan rumah tangga merupakan jenayah serius dan setiap kes ditangani secara teliti melalui siasatan menyeluruh sebelum sebarang maklumat dapat dikongsikan kepada umum.

Dalam usaha memperkukuh perlindungan, beliau berkata kementeriannya sedang dalam proses menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta menangani kelemahan undang-undang sedia ada, disamping meningkatkan advokasi terutama berkaitan keselamatan.

Datuk Seri Nancy Shukri turut memaklumkan antara cabaran utama ketika ini ialah ketiadaan rekod khusus bagi pesalah berulang dalam kes keganasan rumah tangga, selain kekangan perundangan untuk mendedahkan maklumat tertentu kepada umum.

“Walaupun perkara ini di luar bidang kuasa kementerian, kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada cabaran dalam usaha membantu wanita.

“Buat masa ini, tiada mekanisme perkongsian rekod khusus mengenai pesalah atau mangsa berulang kerana kekangan pendedahan maklumat oleh agensi berkaitan. Justeru, kami akan mengusulkan agar satu sistem rekod diwujudkan bagi membantu melindungi mangsa dengan lebih berkesan”, jelasnya.