
JAKARTA, 29 April – Angka korban nahas tren di luar Jakarta meningkat kepada 16 orang, semuanya wanita, selepas seorang penumpang cedera meninggal dunia di hospital, menurut pihak berkuasa pada Rabu.
- Tren jarak jauh merempuh gerabak terakhir kereta komuter yang berhenti berhampiran Stesen Bekasi Timur selepas sebuah teksi terlibat insiden.
- Operasi menyelamat hampir 12 jam, pasukan penyelamat terpaksa memotong gerabak yang remuk untuk mengeluarkan mangsa.
- Presiden arah penambahbaikan lintasan aras; Menteri Pengangkutan buka siasatan terhadap syarikat teksi terlibat.
Insiden berlaku apabila tren jarak jauh merempuh gerabak terakhir khas wanita milik tren komuter yang berhenti berhampiran Stesen Bekasi Timur lewat malam Isnin.
Operasi menyelamat dilakukan hampir 12 jam dengan pasukan penyelamat terpaksa memotong gerabak yang remuk.
Jurucakap polis Jakarta, Budi Hermanto berkata mangsa terbaharu ialah wanita berusia 25 tahun yang meninggal dunia pada pagi Rabu, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 16 orang.
“Seramai 90 orang cedera dalam insiden itu, dengan 44 daripadanya telah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, tren komuter itu berhenti di lintasan aras susulan insiden melibatkan sebuah teksi sebelum dirempuh dari belakang oleh tren jarak jauh.
Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata siasatan telah dibuka terhadap syarikat teksi berkenaan.
Presiden Prabowo Subianto menyalahkan lintasan aras yang tidak selamat sebagai punca kejadian dan mengarahkan penambahbaikan di seluruh negara, termasuk pembinaan pondok pengawal atau jejambat.
Kemalangan pengangkutan sering berlaku di Indonesia berikutan faktor kenderaan usang serta penyelenggaraan yang kurang memuaskan.-AFP