Jurulatih bola sepak sambilan didenda RM21,000 menyamar pegawai MBAS

Gambar hiasan

ALOR SETAR, 29 April – Seorang jurulatih bola sepak sambilan didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam dan memperdaya seorang kontraktor, tiga tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh Mohd Khairil Asmawi Ahmad, 41, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan.
  • Dia didakwa menyamar sebagai Pegawai Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar untuk memperdaya seorang kontraktor.
  • Beliau menerima RM2,000 melalui tiga transaksi ke akaun banknya kononnya untuk bayaran notis dan permit ubah suai.
  • Dituduh di bawah Seksyen 416, dia dikenakan denda RM21,000 oleh mahkamah dan telah membayar denda tersebut.

Tertuduh, Mohd Khairil Asmawi Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai Pegawai Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi memperdaya seorang kontraktor.

Dia melakukan kesalahan itu untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,000 menerusi tiga transaksi ke akaun bank miliknya.

Wang itu kononnya bagi menjelaskan bayaran notis untuk memberhentikan kerja tambahan atau pindaan selain mendapatkan permit kelulusan ubah suai rumah dan bangunan.

Kesalahan itu dilakukan sekitar April hingga Mei 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda keseluruhan RM21,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Tertuduh telah membayar denda yang dikenakan.