NRES gesa tiga gajah Asia dibawa pulang

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

PUTRAJAYA, 29 April -Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa agar tiga ekor gajah Asia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat, dibawa pulang semula ke negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian pemindahan dibuat secara perniagaan ke perniagaan antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji tanpa penglibatan kementerian.
  • Zoo Taiping disaran memulakan rundingan dengan Zoo Tennoji untuk menilai keperluan dan mekanisme pemulangan; kementerian akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Perak.
  • Kementerian menuntut justifikasi kukuh jika pihak ingin mengekalkan haiwan di luar negara; jika tidak memuaskan, tindakan lanjut akan dipertimbangkan.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan secara serius dan teliti khususnya ia didapati tidak selari dengan prinsip konservasi, sekali gus bagi memastikan kebajikan haiwan liar berkenaan terus terpelihara.

Menurut beliau, ketegasan itu dibuat selepas meneliti memorandum yang dikemukakan serta hasil pertemuan bersama pihak berkaitan.

Bagaimanapun, sehingga kini beberapa cadangan dan permintaan masih belum dipenuhi oleh kedua-dua pihak terlibat.

Jelas beliau, perjanjian pemindahan gajah berkenaan dimeterai secara langsung antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji, Osaka melalui kaedah perniagaan ke perniagaan (B2B), tanpa penglibatan kementerian.

“Pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari disaran memulakan rundingan dengan Zoo Tennoji, Osaka bagi menilai keperluan serta mekanisme pemulangan, memandangkan terdapat obligasi kontrak yang perlu dipatuhi.

“Kementerian juga akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Perak bagi membolehkan tindakan rasmi diambil dalam usaha merealisasikan cadangan tersebut,” katanya dalam sidang media khas, di sini.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak terlibat supaya memberikan justifikasi kukuh sekiranya ingin mengekalkan gajah berkenaan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

“Jika alasan yang diberikan tidak memuaskan, kita akan meneliti semula dan mempertimbangkan tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Arthur menegaskan sebarang keputusan berkaitan pertukaran atau pemindahan haiwan pada masa hadapan perlu mengambil kira tujuan yang jelas seperti konservasi atau diplomasi, serta manfaat timbal balik kepada negara.