
KUALA LUMPUR, 29 April – Isu Kematian tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun masih menjadi isu kesihatan yang membimbangkan; dengan kes yang hampir sama dilaporkan setiap tahun.
- Kecederaan otak serius akibat gangguan bekalan oksigen boleh membawa maut kepada kanak-kanak.
- Punca biasa termasuk lemas di kolam, tertinggal dalam kereta, dan jatuh dari tangga atau kondominium.
- Ibu bapa mesti cakna; buang biji buah dan potong kecil anggur, ciku, kiwi untuk elak tersedak.
Pakar Perunding Pediatrik, UiTM Private Specialist Centre (UPSC) Sungai Buloh, Dr Nadiah Azlisham berkata kecederaan yang sering terjadi kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian tanpa disengajakan kebiasaannya melibatkan kecederaan serius kepada otak.
Jelasnya, kanak-kanak bawah lima tahun sangat berisiko kerana struktur sistem pernafasan mereka yang kecil dan gangguan bekalan oksigen selama beberapa minit sahaja boleh menyebabkan kecederaan otak sehingga menyebabkan kematian.
“Contoh-contoh yang kita nampak sekarang di luar ini, ulang-ulang setiap tahun kita dengar benda yang sama jadi. Lemas dalam kolam renang, tertinggal dalam kereta, jatuh dari tangga, jatuh dari kondominium.
“Kalau berikan makan, kita pastikan kalau kita berikan anak kita makan buah, kita mesti buangkan biji buah itu dulu. contohnya buah anggur, buah ciku, buah kiwi dan kita kena potong kecil-kecil dan baru bagi masa mulut anak. Kalau potong besar, masa mulut dia boleh tersekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Dr Nadiah turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa cakna terhadap persekitaran di rumah bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka.